Mashitah Nur Alysha Suliman (kanan) menyediakan laporan mengenai permasalahan jalan kampung di Parit, Perak.


Oleh: Narmatha Devi a/p Jayakumar

Gambar: Aiman Zafran Nor Azam


PERKEMBANGAN terkini dunia kewartawanan daripada media cetak atau industri surat khabar di Malaysia semakin suram susulan peralihan kepada media 'online' dan makin berkurangan pada kadar 10 peratus setiap tahun.

Namun kini kesannya semakin ketara sehinggakan semua syarikat surat khabar terpaksa melakukan rombakan besar-besaran mengubah corak operasi mereka dengan memberi tumpuan kepada operasi online pula.

Malah, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam satu ucaptama juga  menjelaskan, industri surat khabar kini diibaratkan seperti industri senja dan sedang menuju penamatnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kewartawanan


Rentetan daripada perkembangan itu, penuntut kelas kewartawanan Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM)  juga mengambil pendekatan untuk mengajar dan melatih penuntut UUM mempelajari dan mendedahkan mereka dengan aspek-aspek kewartawanan online.

Pengarahnya, Dr Mohamad Zaki Ahmad berkata, revolusi media massa menyebabkan pembaca kini terarah kepada media sosial antaranya Facebook, Twitter dan juga portal berita yang lebih cepat dan percuma.

“Kita melihat sekiranya berita yang disiarkan di surat khabar merupakan berita yang berlaku semalam, tetapi dalam media sosial atau portal berita, berita disiarkan adalah terkini dan boleh dikemas kini dari semasa ke semasa.

"Pusat Kokurikulum UUM mahu atau tidak harus menerima perubahan itu dengan menyediakan modul kepada pelajar-pelajarnya," katanya.


Peserta yang mengikuti kelas kewartawanan secara online.


Menurut Penyelaras Unit Teknologi Media dan Kreatif, Dr Azizah Md Yusof, beliau yakin dan percaya dengan pengalaman dimiliki tenaga pengajarnya  dapat melahirkan wartawan termasuk wartawan online yang bukan sahaja sebagai memenuhi subjek ditawarkan di kampus UUM tetapi juga berpotensi melahirkan wartawan di negara ini.

“Saya melihat melalui hasil-hasil tugasan pelajar yang diberikan, mereka bukan sahaja dapat menyediakan laporan untuk subjek ini malah penampilan mereka dengan fakta dan maklumat terkini juga memberi gambaran pelajar kampus ini dapat melahirkan wartawan yang hebat,” ujarnya ketika dihubungi. 


Muhammad Sobri Mohd Sarib menyediakan laporan mengenai pelancongan di daerah Bagan Datuk.


Sementara itu, beberapa pelajar yang ikuti kursus melahirkan rasa bertuah kerana modul kewartawanan  ditawarkan bukan sahaja berkehendakkan mereka mempelajarinya malah subjek berkenaan juga dilihat menarik walapun terpaksa mengikuti secara online.

Pelajar, Muhammad Sobri Mohd Sarib berkata tugasan diberikan sebagai wartawan online memberi pengalaman baru kepadanya kerana perlu turun padang ke lapangan bagi mencari bahan berita sekali gus memberi peluang tampil sebagai wartawan lokasi.

"Sebelum ini hanya melihat di kaca television wartawan bertugas di sesuatu tempat. Saya menyediakan laporan mengenai tarikan pelancongan di daerah Bagan Datuk yang memaparkan keindahan landskap menarik termasuk kemudahan untuk rekreasi serta riadah," katanya.


Liew Zhe Wu dari Johor Bahru  memilih laporan berita mengenai Hiasan Deepavali


Manakala, Liew Zhe Wu dari Johor Bahru yang memilih laporan mengenai Hiasan Deepavali untuk tugasannya berkata, walaupun pengajian secara online namun keseronokannya dapat dirasai kerana dapat mempelajari dunia kewartawanan baharu ini.

“Masa sekolah dahulu saya pernah menghasilkan berita dan karangan tetapi selepas memulakan pengajian di universiti ini memberi pengalaman baru kerana terpaksa mencari bahan dan menghasilkan video mengikut kreativiti," ujarnya.


Muhammad Fikri Mohd Sabri  menghasilkan laporan berita berhubung masalah pencemaran bunyi  di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru.


Bagi Muhammad Fikri Mohd Sabri, laporan berita berhubung masalah pencemaran bunyi yang menganggu ketenteraman penduduk di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru sejak 10 tahun lalu dihasilkannya memberikan kepuasan baginya apatah lagi isu itu berlanjutan sejak sekian lama. 

"Pemasalahan ini sering menjadi perbualan penduduk, akhirnya dapat saya hasilkan dalam bentuk berita dan video. Peluang turun padang mencari berita ini satu tugasan yang berikan keseronokan tersendiri.

"Subjek kewartawanan ini amat menarik dan berharap dapat mempelajari serta menggunakannya untuk subjek atau ketika menyertai kelab, persatuan dan  di inasis penginapan nanti," katanya yang juga bekas jurufoto Kelab Fotografi Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki Johor Bahru. - KitaReporters


14
20
0
9
0

Copy Link: