Klinik pertama SPM UUM secara online! Kerjasama dengan KPM
Published byLebih 250 pelajar yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyertai Klinik SPM pada 4 November 2020 secara dalam talian yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program langkah ke menara gading ini akan disertai lebih 250 pelajar dari empat buah sekolah di negeri Kedah dan Perlis. : KitaReporters
Asmawiza Hussin (kanan) menerangkan mengenai program Klinik SPM kepada Dr Hendrik Lamsali (tiga dari kanan).
Lagi cerita-cerita berkaitan UUM:
https://kitareporters.com/search?search=uum
Menurut Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM Asmawiza Hussin, sepanjang klinik itu diadakan mereka akan difokuskan kepada empat subjek mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
"Mereka akan dibimbing oleh guru cemerlang dan penceramah yang berpengalaman dan pernah menerima beberapa anugerah diperingkat KPM," katanya ketika ditemui.
Pengarah PBS UUM Asmawiza Hussin
Sepanjang klinik yang diadakan itu kesemua pelajar dari empat buah sekolah itu akan dibimbing sepenuhnya oleh guru-guru agar mereka akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan mengikuti kupasan, topik, formula dan menjawab mengikut teknik yang betul.
Asmawiza menambah dengan program yang dianjurkan ini pastinya pelajar SPM melalui sekolah yang dipilih ini akan mendapat bimbingan serta memahami konsep soalan dan cara untuk menjawab mengikut skima yang digariskan oleh bahagian peperiksaan.
Program julung kali yang dianjurkan ini diharap dapat memberi kesan yang amat baik dalam kalangan pelajar, sekali gus mendapat keputusan yang cemerlang ketika diumumkan nanti.
"Kami yakin ramai pelajar, guru dan waris bimbang dan risau dengan wabak Koronavirus 2019 (COVID-19) ini yang sedikit sebanyak menganggu aspek pembelajaran mereka tetapi dengan klinik yang diadakan ini diharap dapat membantu mereka untuk memperolehi kejayaan nanti, ‘ ujarnya lagi.
Amzan Abd Malek dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM
Sementara itu, Amzan Abd Malek dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM berharap calon SPM khususnya bersabar dengan Pandemic COVID-19 yang melanda negara ini.
“KPM menyedari wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara kini memberi tekanan kepada semua pihak termasuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan nanti," katanya lagi.
Oleh itu KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang berusaha untuk membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan khususnya dengan mengatur pelbagai langkah tambahan agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan kelak.
"Jalinan kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti UUM diharap dapat membantu calon SPM ini termasuk sesi bersama pensyarah atau program yang dilaksanakan sebagai nilai tambah bagi mereka agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan itu kelak," sambungnya lagi.
Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berharap program yang akan dijalankan ini dapat membantu pelajar SPM dan seterusnya merealisasikan hasrat KPM.
"Pihak UUM sentiasa bersedia dan seiring dengan kerajaan dalam membantu apa sahaja usaha kepada komuniti setempat atau pun negara terutama ketika pendemik COVID-19," ujar beliau lagi ketika melancarkan program Kem Kecemerlangan Zon Utara Klinik SPM 2020 di Bilik Mesyuarat HEP kampus ini.
Turut hadir Dekan Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin dan Pengarah HEP UUM Noor Azman Yusof. - KitaReporters