Tahniah Tabuh Pendeta dari USIM! Juara Derak Dikir Gegar! Juga menang Tok Jogho, Tukang Karut Terbaik!
Published byProgram “Derak Dikir Gegar” yang berlangsung di Dewan Sri Makhota, Politeknik Sultan Ahmad Shah, menjadi saksi kehebatan kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila berjaya dinobatkan sebagai juara.
Program ini dianjurkan oleh stesen radio popular THR Gegar dan melibatkan penyertaan daripada empat kumpulan, termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak, Selangor pada 12 Oktober 2024 baru-baru ini.
Tabuh Pendeta dianggotai 20 orang ahli dan diketuai Muhammad Haziq Muhammad Fadzil, termasuk tok jogho dan tukang karut.
Persembahan mereka yang membawa lagu “Permata Pantai Timur” berjaya memikat hati juri, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,500.
USIM turut memenangi anugerah khas iaitu Tok Jogho Terbaik yag dirangkul oleh Zahid Izzuddeen Mohd Hata manakala Anas Rifqi Mohd Azmi dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik. Naib johan Derak Dikir Gegar disandang oleh IKTBN, Temerloh dan ketiga UIA Gombak.
Kemenangan ini menunjukkan prestasi luar biasa dan keazaman yang tinggi untuk merebut kemenangan besar dalam pertandingan ini. Kejayaan ini mendapat sambutan hangat daripada peminat seni dikir barat.
Muhammad Haziq menyuarakan rasa syukur dan kegembiraannya. “Syukur ke hadrat Ilahi, saya amat gembira dengan pencapaian ini oleh kerana usaha berhempas-pulas selama ini berbaloi.
"Kejayaan ini akan juga menjadi batu loncatan bagi Tabuh Pendeta untuk melangkah lebih jauh dalam seni dikir barat,” ujarnya dengan penuh semangat.
“Allah tidak membawa kita sejauh ini jika untuk kita menyerah di pertengahan jalan. Harapan saya agar legasi dikir barat USIM terus bergiat agar seni budaya ini tetap dipertahankan,” katanya lagi.
Kejayaan Tabuh Pendeta tidak hanya bermakna bagi sebuah kumpulan, tetapi juga menjadi kenangan manis buat mereka yang bakal menamatkan semester akhir di USIM dan uniknya ahli kumpulan terdiri tidak hanya dari Kelantan bahkan serata negeri seperti Kedah, Johor, Pahang dan sebagainya.
Perjuangan dan pencapaian ini memberi harapan agar seni budaya seperti dikir barat terus berkembang dan diminati, seterusnya dapat dikekalkan sebagai warisan seni yang berharga untuk generasi akan datang.
Pertandingan ini disambut meriah dan rata-rata peminta dikir barat dari Pantai Timur tidak melepaskan peluang menyaksikan kemeriahan pertandingan ini. - KitaReporters/USIM