Dr. Zambry Abdul Kadir (dua dari kiri) menyampaikan replica cek dan anugerah kepada Prof. Dr. Mazliham Mohd Su'ud (tengah) dan Prof Dr Md Amin Md Taff (kanan) pada AKKPT 2023 pada 8 Mac 2024.


Universiti Multimedia (MMU) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Institusi Terbaik pada Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi (AKKPT) 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Mac 2024.

Pengiktirafan berprestij oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE) itu menjulang MMU sebagai Universiti Keusahawanan Terbaik di negara ini. Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir kepada Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud.

Menurut Prof. Mazliham, kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat MMU kerana ia mengiktiraf usaha berterusan yang dilaksanakan oleh MMU dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan yang kondusif dalam kalangan warga universiti dan komuniti.

“Pengiktirafan ini membuktikan program dan aktiviti keusahawanan seperti Program Entrepreneur Cadetship atau eCadet yang melibatkan para pelajar dan kakitangan MMU telah diakui berjaya melahirkan komuniti usahawan cemerlang untuk negara,” tambahnya.

Menurutnya, ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan MMU sebagai salah sebuah universiti terbaik di Malaysia dalam melahirkan graduan yang memiliki ilmu keusahawanan dan kebolehpasaran tinggi dalam pasaran kerja.



Beliau memberitahu, eCadet adalah program latihan keusahawanan bagi memberikan pendedahan awal tentang budaya keusahawanan sejak mula pengajian para pelajar di MMU. 

“Melalui program ini, mereka akan diberi bimbingan oleh usahawan-usahawan terkemuka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing,” jelasnya. 

Prof. Mazliham menyatakan penghargaan kepada Kementerian di atas anugerah tersebut yang menguatkan lagi komitmen berterusan MMU dalam menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik untuk memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Pada majlis AKKPT 2023 itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menerima anugerah yang sama bagi membolehkan UPSI dan MMU berkongsi hadiah utama RM250,000.

Selain itu, sekumpulan pelajar jurusan Multimedia Teknologi Maya dari Fakulti Multimedia Kreatif MMU, Irfan Samrizan Samsuri, Nur Aina Zayani Yusaini, Haris Zaid dan Siti Arina Sahul Hameed meraih tempat pertama untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 atas kemenangan dalam Kategori Khas: Projek Pelajar Teknologi Terbaik - AR/VR, pada majlis berkenaan. Kemenangan itu dicapai melalui projek yang bertajuk "Johor melalui Mata Seorang Seniman".

Selain itu, pelajar tahun akhir Perakaunan MMU, Ong Yong Xun yang merupakan pengasas syarikat aplikasi JomStudy, memenangi tempat ketiga dalam Kategori Khas: Syarikat Permulaan Pelajar Terbaik dan membawa pulang RM7,000.

Dalam pada itu, Putri Syaidatul Akma Mohd Adzmi, Timbalan Pengarah Penglibatan Alumni, Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan MMU, meraih tempat ketiga untuk Anugerah Mentor Terbaik dan menerima RM7,000 pada majlis itu.

Diadakan setiap dua tahun, AKKPT bertujuan mengiktiraf inisiatif institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan dan pendidikan keusahawanan. 

Pencapaian ini menunjukkan komitmen institut pengajian tinggi dalam memupuk semangat dan kemahiran keusahawanan di kalangan komunitinya. - KitaReporters/MMU


Prof. Dato' Dr. Mazliham Mohd Su'ud (berdiri, tiga dari kanan) Bersama para pelajar dan kakitangan MMU meraikan kejayaan AKKPT 2023 pada 8 Mac 2024

13
9
0
20
0

Copy Link: