3 negara kaji rumah warisan Negeri Sembilan! USIM anjur International Architectural Field Study 2024!
Published by54 pelajar dan pensyarah dari Malaysia, Uzbekistan, dan Indonesia berkumpul bagi menyertai International Architectural Field Study (IAFES) 2024 anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 4 hingga 9 Ogos 2024 yang berlangsung di Seri Menanti, Kuala Pilah.
Program selama enam hari ini melibatkan pelajar dan pensyarah dari USIM; Tashkent University of Architecture and Civil Engineering, Uzbekistan; dan Universiti Diponegoro, Indonesia.
Inisiatif ini merupakan kolaborasi erat antara Jabatan Seni Bina USIM, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), serta komuniti tempatan.
Peserta program berpeluang meneroka keunikan seni bina tradisional Negeri Sembilan, sambil berinteraksi dengan penduduk kampung dan mempelajari adat perpatih yang istimewa.
Aktiviti seperti sukan rakyat, mendaki Bukit Sikai, dan bermain layang-layang bersama penduduk tempatan menambah keakraban dan memperkaya pengalaman budaya mereka.
Prof.
Madya Dr. Nurul Syala Abdul Latip, Pengarah Program IAFES 2024 berkata peserta
berpeluang mengkaji dan memelihara warisan seni bina Negeri Sembilan.
“Ini adalah peluang pertama bagi pelajar kami untuk terlibat secara langsung dengan isu warisan seni bina di lapangan, dan saya amat gembira dengan semangat yang mereka tunjukkan," katanya.
Sementara itu Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM, Prof. Madya Ir. Dr. Khairi Abdul Rahim berkata program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa, tetapi juga menanam kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan warisan tradisional.
“IAFES akan diteruskan penganjurannya bagi menanam jati diri budaya yang berterusan dari kaca mata seni bina kepada setiap pelajar dalam menyantuni komuniti tempatan," jelasnya.
Tambah beliau, IAFES 2024 telah membuktikan bahawa kerjasama akademik antara negara bukan sahaja memperkaya ilmu, tetapi juga mendekatkan kita kepada warisan dan budaya yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. - KitaReporters/USIM