Mairoszalifah Ismail (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020.


SEMPENA Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020) 2024, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, turut meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk pelajar empowerNCER Akademik 2023, pada 27 Julai 2024.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim, Mairoszalifah Ismail itu bertujuan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang mencapai kejayaan akademik selain menjadi platform menginspirasi pelajar lain untuk berusaha lebih keras dalam akademik dan pembangunan diri. 

Pengetua SMKBB2020, Rafidah Mohd Ghazali, berkata program empowerNCER Akademik 2023 sangat membantu dan berjaya melahirkan pelajar yang mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.  

Justeru, menurutnya, bagi menghargai pencapaian cemerlang pelajar, Majlis Hari Anugerah dianjurkan secara bersama 31 sekolah daripada sembilan sekolah daerah di Perak. 


Hana Humairah bersama ibu bapanya.


Rafidah berkata, program empowerNCER Akademik merupakan program NCIA bertujuan memberikan pendidikan holistik kepada murid daripada keluarga B40 dengan prestasi akademik yang lemah. 

Program empowerNCER Akademik di Perak dianjurkan dengan kerjasama UPSI dan turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). 

Kerjasama antara pelbagai pihak itu memastikan program dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang diinginkan.

Jelasnya, objektif utama program itu adalah untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pada masa yang sama membangunkan kemahiran diri. Inisiatif itu dapat mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan adil dalam akses pendidikan, apabila setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang sama untuk mencapai kejayaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Murid dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata program empowerNCER Akademik sudah berhasil mencapai matlamat untuk memberikan akses sama rata terhadap pendidikan berkualiti kepada golongan yang memerlukan.


Pengurus empowerNCER Akademik Tanjong Malim, Perak, Nazratul Ishmah Lokman (tengah) bersama-sama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2023.


Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pencapaian cemerlang pelajar program empowerNCER Akademik di Perak akan mendorong mereka untuk berjaya pada masa hadapan, sekali gus berpotensi meningkatkan taraf kehidupan diri dan keluarga yang sebahagian besarnya daripada golongan B40.

“SMK Bawong, yang majoritinya pelajar Orang Asli, berjaya mencatatkan pencapaian yang membanggakan dengan kadar lulus SPM 100 peratus. Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan komitmen yang tinggi daripada pihak sekolah dan guru dalam memberikan pendidikan berkualiti, tetapi juga menunjukkan potensi yang besar dalam kalangan pelajar daripada komuniti Orang Asli untuk mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.


Muhammad Norman Hidayat.


Pelajar dari SMK Khir Johari, Sungai Sumun, Muhammad Norman Hidayat Ahmad Zaki yang memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM 2023, berkata bantuan penyediaan kelas tambahan percuma daripada program empowerNCER Akademik banyak membantu dirinya meningkatkan kefahaman selain berpeluang mengulang kaji subjek tertentu dengan bantuan guru ketika kelas tambahan yang dijalankan.  

Pelajar Orang Asli dari SMK Slim, Sabrina Bah Juhamat yang memperoleh 5A dalam SPM 2023, pula berkata latar keluarga yang  kurang berkemampuan mendorong dirinya belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi masa depan keluarga.

“Saya amat bersyukur terpilih untuk mengikuti empowerNCER Akademik yang banyak membantu dalam pelbagai aspek pembelajaran bagi meningkatkan kefahaman subjek mata pelajaran apabila menduduki SPM,” katanya.


Sabrina Bah Juhamat.


Pelajar cemerlang dari SMKBB2020, Hana Humairah Hasnan juga meluahkan rasa syukur kerana dipilih bagi mengikuti program empowerNCER Akademik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan program ini sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam SPM selain akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar B40 pada masa akan datang,” katanya. - KitaReporters

11
13
0
15
0

Copy Link: