UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, terus komited membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa.

Terkini UPSI menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Kanazawa (KU), Ishikawa, Jepun pada 12 September 2024 bagi memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi kedua-dua institusi.

Majlis MoU yang berlangsung di KU itu menyaksikan MoU ditandatangani Naib Presiden KU, Professor Noriko Hasebe dan Naib Canselor UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff. 

Turut hadir pada majlis itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim; Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling FPM, Dr Hapsah Md Yusof; serta Pensyarah Kanan FPM, Dr Pau Kee.

Prof Noriko, berkata KU sentiasa terbuka untuk menerima masyarakat tempatan dan global bagi menjalankan penyelidikan khusus dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, KU mempunyai perjanjian persefahaman dengan 341 institusi dari 363 negara serta mempunyai 824 pelajar antarabangsa pelbagai peringkat yang belajar di universiti berkenaan.

“Contohnya, Profesor Atsuro Tsutsumi dari Institut Sains Transdiskriminasi Inovasi menjalankan penyelidikan bersama UPSI sejak tahun 2016.

“Melalui program pertukaran pelajar seperti Program Latihan Bahasa dan Budaya Jepun dan KU Short-term Exchange Program (KUEP) akan lebih memperkasakan kecemerlangan pelajar pada masa akan datang,” ujar beliau.


Universiti Kanazawa (KU), Ishikawa, Jepun.


Sementara itu, Prof Md Amin, berkata MoU yang ditandatangani lebih memfokuskan terhadap pembangunan insan, kesihatan mental dan psikologi pendidikan selaras dengan kekuatan KU dalam penyelidikan serta inovasi pelbagai disiplin. 

Merealisasikan matlamat itu, katanya, kedua-dua institusi akan menyediakan peluang kepada pelajar dan kakitangan dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan latihan.

Tambahnya, kerjasama program mobiliti antarabangsa menerusi pertukaran pelajar serta program akademik antara UPSI dan KU pada masa akan datang berlangsung dalam konteks budaya Malaysia-Jepun yang unik dan teknologi pendidikan amat tinggi.

UPSI, menurutnya, diiktiraf dalam menawarkan pendidikan yang inklusif dan holistik khususnya  bagi bidang kaunseling, psikologi, pendidikan khas, pendidikan awal kanak-kanak, pedagogi dan kurikulum, bahasa dan sebagai.

 “Kita membayangkan kerjasama ini akan menjadi platform untuk menjana idea baharu yang menyumbang kepada wacana global mengenai pendidikan, kesihatan mental dan pembangunan manusia bagi menangani cabaran kontemporari di sekolah iaitu isu pendidikan digital serta kesihatan mental,” tegasnya.


Prof Md Amin Md Taff (enam dari kiri) dan Prof Noriko Hasebe bertukar cenderamata selepas menandatangani MoU di  Kanazawa University, Ishikawa, Jepun pada 12 September 2024.


Prof Md Amin, berkata melalui kerjasama antara UPSI dan KU dijangka dapat menyumbang dalam konteks penyelidikan khususnya bagi aspek kesihatan mental pelajar, kepelbagaian budaya dalam pendidikan dan pembangunan teknologi pembelajaran adaptif.

Jelasnya, sinergi penyelidikan kedua-dua negara akan membawa kepada kemajuan yang penting di samping boleh diaplikasikan dalam konteks pendidikan Malaysia dan Jepun.

Menurutnya, program mobiliti pelajar juga dilihat dapat memperkasakan pendidik dan profesional mahir dalam teori serta amalan selain memperoleh pengalaman akademik bermakna kerana mengalami kepelbagaian budaya Malaysia dan Jepun yang unik.

“Justeru, jalinan kerjasama yang diperkukuh menerusi MoU yang sudah dimeterai ini diharapkan dapat memberikan implikasi besar kepada lanskap pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun” ujarnya. - KitaReporters

13
7
0
22
0

Copy Link: