2024 saksikan lembaran cemerlang dan kejayaan! 2025 pula janjikan pencapaian lebih tinggi! - VC UUM
Published byAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Kepada seluruh keluarga besar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang saya hormati,
Tatkala kita melangkah ke ambang tahun baharu 2025, izinkan saya menyampaikan ucapan penuh rasa bangga dan penghargaan atas dedikasi dan usaha gigih semua pihak sepanjang tahun 2024.
Tahun 2024, sempena sambutan 40 tahun usia UUM, sejarah menyaksikan lembaran cemerlang buat institusi ini, yang dihiasi dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan yang mencerminkan komitmen kita terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, dan kelestarian.
Dalam QS World University Rankings 2025, UUM berjaya mengekalkan kedudukan antara universiti terbaik dunia, di tangga ke-554 secara global.
Pada peringkat rantau, kita melangkah lebih jauh dengan kedudukan ke-79 di Asia dan ke-19 dalam ASEAN.
Lebih membanggakan, program Global MBA UUM bukan sahaja kekal dalam kumpulan 151-200 terbaik dunia untuk tahun 2024 dan 2025, malah diiktiraf sebagai program MBA No. 1 di Malaysia.
Dalam QS Sustainability Rankings, UUM mencatat peningkatan signifikan, melonjak dari kedudukan 821-840 pada 2024 kepada 745 pada 2025.
Pencapaian kita dalam Times Higher Education (THE) Rankings juga sangat membanggakan. Bagi tahun ketiga berturut-turut (2023-2025), UUM mengekalkan kedudukan dalam kumpulan 401-500 terbaik dunia.
Dalam THE Young University Rankings, kita naik ke tangga ke-71 pada 2024, menjadikan UUM universiti awam No. 1 di Malaysia bagi kategori universiti muda.
Dalam THE Impact Rankings, kita berjaya memperbaiki kedudukan dari kumpulan 401-600 pada 2023 ke 301-400 pada 2024, membuktikan komitmen kita dalam menyahut cabaran global melalui inisiatif yang bermakna.
Semua pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif dan visi bersama. Anda semua, sebagai tulang belakang universiti ini, telah menjadi penggerak utama kejayaan UUM. Atas segala usaha dan sumbangan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan.
Untuk tahun 2025 ini, marilah kita terus memperkukuh semangat kerjasama dan inovasi, serta menanam azam baharu untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Tahun 2025 merupakan tahun terakhir sebelum memasuki fasa baharu pelan strategik UUM bermula 2026 sehingga 2030. Sama-samalah kita membangunkan pelan strategik berkenaan.
Pelan Strategik UUM tentunya berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025. Semoga tahun ini membawa kemakmuran, kejayaan, dan kebahagiaan buat kita semua.
Selamat Maju Jaya Semua.
PROFESOR DATO’ DR. MOHD FOAD SAKDAN
Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia
Graduan yang menghadiri majlis konvokesyen universiti ini.