SANTAU GUNA KACA.. HANTU DALAM BOTOL..

Published by
KitaReporters
SEBAIK saja tangan meraup belakang tengkok pesakit ini, Mayangsari seolah-olah mencekup tangannya dan pelahan-lahan menumpahkan cebisan ketulan kaca kecil seperti gelas yang pecah berderai.

Sepihan kaca yang dikeluar dari bahagian tengkok pesakit. 


Ini adalah antara beberapa siri yang saya akan kongsikan dengan pembaca mengenai kerja seorang perawat tradisional atau tok bomoh yang mungkin dalam keadaan tertentu akan membuatkan pembaca berfikiran saya cuba lari dari landasan agama. 

Sebagai Muslim, kita kena percaya selain manusia dalam dunia ni ada entiti atau makhluk lain yang kadangkala boleh  "memasuki" badan kita dan adakalanya sampai tahap merasuk.

Saya ceritakan pengalaman Mayangsari mengubati pesakit dengan caranya saya memanggilnya "pemburu hantu" atau Ghostbuster. - KARTINI MOHD. NOOR


Siri 2.


SEBAIK saja tangan meraup belakang tengkok  pesakit, Mayangsari seolah-olah mencekup tangannya dan pelahan-lahan menumpahkan cebisan ketulan kaca kecil seperti gelas yang pecah berderai. 

Kilauan kaca seakan air jernih. Berteraburan di atas alas kain hitam yang dibentangkan di atas lantai ketika rawatan tradisional dilakukan ke atas pesakit "batin" ini.

Dia kemudian saukkan sekali lagi pada bahagian dagu pesakit itu. Muncul lagi ketulan kaca yang sama. Kali ini tak sebanyak yang diraup daripada belakang tengkok itu. 

Ketika proses itu dilakukan pesakit itu mengerut dahi, menahan keperitan, terasa pedih dan macam dihiris-hiris dengan pisau nipis. Gambarannya seperti kita sakit nak keluarkan cebisan kaca yang tertusuk kat kaki kita. Itulah, perasaan wanita ini ketika diperlakukan begitu.

Serpihan kaca itu adalah antara hantaran santau untuk wanita itu. Kadangkala bersama santau itu ketulan kaca  bercampur dengan benda aneh yang lain termasuk wayar dawai dan ulat. 

Sepihan kaca dan dawai yang dipercayai untuk tujuan hilang seri. muka, tutup puntu jodoh dan rezeki ke maut. 


Santauan ini adalah untuk menutup pintu rezeki, jodoh, dan seri muka mangsa yang dijadikan sasaran penghantarnya. 

Walaupun kita tidak perlu percaya kepada kerja makhluk gelap ini tetapi dengan  izin Allah SWT benda ini bisa terjadi. 

Ia adalah ujian sekali gus amaran kepada manusia betapa perbuatan jahat kita itu bukan satu kemegahan tetapi ada jiwa manusia lain yang akan menanggung penderitaan akibat perbuatan hasad, dendam dan dengki.

Ketika diminta membuat perubatan ini, Mayangsari tahu dia akan berdepan dengan pelbagai gangguan yang orang biasa tak akan nampak. 


Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah pesakitnya, kucing tuan rumah resah, berlari seolah-olah dikejar oleh sesuatu. Sekejap duduk di kerusi, sekejap lari bersembunyi di bawah meja. Lari dari satu bilik tidur ke ke dapur.

Mayangsari tersenyum sendirian kerana bukan kucing itu yang berkelakuan begitu, entiti dalam rumah itu juga tak senang "duduk".

Berteraburan lari menyelamatkan diri mereka yang sudah terasa bahang kepanasan kehadiran Mayangsari itu. Hantu itu cepat-cepat lari bersembunyi di bilik tidur, dapur, bilik air dan dekat sofa di ruang tamu. 

"Kau tunggu!...selama ini macam-macam kau buat ke tuan rumah ni, kau takkan terlepas lagi kali ni, " detik Mayangsari.

"Ada tak sebelum ini pintu depan rumah diketuk berterusan macam ni?" tanya Mayangsari yang memberitahu pintu depan rumah itu diketuk bertalu-talu tetapi orang dalam rumah itu tak dengar bunyi apa-apapun.

Mula-mula pesakit itu diminta duduk berlunjur, membelakangi Mayangsari yang mula membaca kalimah suci al-Quran. Laillahillah, Allahuakbar, surah lazim al-Nass, al-Ikhlas tidak putus dari bibirnya. 

Pesakit kelihatan tenang saja ketika Mayangsari membuat proses itu malah hatinya mula diterjah rasa aman damai dan sedikit demi sedikit dia diminta menarik nafas dan menghembuskan. Sekali tengok macam doktor membuat pemeriksaan melalui stestekopnya. 

Bayangkan dalam perubatan ini pesakit kena sediakan 15 kilo garam, lada hitam, limau nipis, air mawar, tiga jenis minyak wangi yang tiada dicampuri alkohol dan kain putih untuk dijadikan pakaian mandi ais. (mandi ais dan mandi bunga akan saya ceritakan dalam siri akan datang). 

Sebelum dimandikan, Mayangsari mengarahkan pesakitnya terlentang dan Mayangsari membacakan ayat-ayat suci sambil menahan perit. Dia tutup matanya dan yang berkerja adalah tangannya. 

Oh ya, ini kali Mayangsari membuat operasi bedahan batin. Betul-betul macam berlaku seperti di meja pembedahan dekat hospital.

Jari jemari Mayangsari seakan dipegang oleh seseorang yang membuat pembedahan itu. Satu-satu kita nampak macam dia sedang menghiris kulit perut pesakit itu. 

Dibukanya bahagian rahim itu seperti mana seorang doktor membuat operasi ceaserian. Mayangsari seolah-olah menarik sesuatu dari dalam rahim itu. 

Sebenarnya dia menarik dua gumpulan darah yang dipanggil nenek kebayan yang melekat pada rahim wanita yang mahu disakiti. Nenek kebayan ini "makan haid" wanita ini dan merosakkan sistem peranakan.

Sekali lagi pesakit ini menahan perit. "Rohnya" kelihatan sangat sakit menahan keperitan akibat dibedah itu. Tu kita boleh nampak dari raut mukanya. Dia boleh rasa sakitnya kulit perutnya dihiris. 

Wanita itu hanya boleh menggambarkan kesakitannya tetapi fizikalnya dia tak ada kesan pembedahan pun, apalagi parut yang tertinggal. 

Hebatkan dunia mistik hanya mereka yang pernah melalui proses begini boleh merasakannya tahap sakit dan pedihnya, menahan ngilu bila satu-satu lapisan kulit dihiris sehinggalah "pembedahan ghaib" itu selesai.

Lalu bahagian tertentu pada muka, pada tubuh wanita itu ditulis dengan kalimah Allah SWT untuk memasang pagar diri pesakit itu daripada dirasuk lagi. 

Sebelum melakukan pembedahan itu, Mayangsari meminta wanita itu mengeluarkan barangan yang diberikan oleh seorang perawat dari Jawa daripada pesakitnya. 

"Keluarkan semua barang yang diberikan oleh orang sebelum ni. Ada dua barang kan?" tanya Mayangsari. Pesakit itu terpinga-pinga kerana dia tak beritahu Mayangsari,dia pernah berubat sebelum ini.

"Urrghhh...." Mayangsari menarik jari-jemarinya secara tiba-tiba sebaik memegang barang yang dibekalkan oleh pawang Jawa itu. 

Di dalam bungkusan itu ada kain kapan dan temiang hantu rupanya, kau bekalkan kepada pesakit ini. Balik di rumahnya, beberapa jarinya kelihatan menggelembung macam terkena air panas. Semalaman dia menahan sakit.

Selain itu, dalam satu bungkusan lain yang dibekalkan oleh seseorang dari Ampang mengandungi wang tunai seringgit yang dibalut dengan kain hijau sebagai pengeras.

Dan pada ketika tertentu, wanita itu bermimpi ada harimau putih berada di ruang tamunya. Apabila dia bangkitkan soalan itu kepada seseorang yang menemaninya berubat itu.

"Ahh!...tu harimau menjaga awak tu. Jangan bimbanglah. Cuma bila sakit baca ayat-ayat yang diberikan oleh pawang itu sambil membayangkan wajahnya." Malangnya pesakit ini tidak buat arahan yang diberikan itu kerana bimbangkan jatuh kufur.

Sesudah selesai urusan pembedahan dan "memagar" pesakit itu, Mayangsari kemudian memandikan wanita itu dengan mandian ais. 


Entiti yang dipercayai makhluk-makhluk gelap ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol.


Dan selepas itu dia mula bertindak menangkap hantu-hantu yang terperangkap dalam rumah itu. Diiringi laungan azan dan ayat-ayat suci alQuran, hantu itu dikecilkan saiznya dan dikutip satu, satu dan dimasukkan ke dalam botol. 

Sekali lagi dah macam cerita Melayu, Hantu dalam Botol terbitan Metrowealthlah pula kelakuan Mayangsari. Memang betullah itu yang dilakukan orang pandai mengendalikan kerja-kerja mistik ni.

Habis semua lapan botol dimasukkan makhluk gelap itu dan botol itu ditutup dengan tudungnya, ia diketatkan lagi dengan lilitan oleh tanah liat. Kerja bukan habis di situ saja, botol itu kemudian perlu dibuang ke dalam air sungai yang arusnya mengalir deras.

Entiti yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol dihanyutkan ke sungai.


Malam itu dalam gelap gelita disertai dengan hujan lebat, ribut petir dan pemanduan kereta sedikit terganggu, lapan ekor hantu itu dibuang jauh di sungai pinggir bandar raya.

Mayangsari juga mengingatkan orang ramai yang terjumpa botol tertutup rapat dan nampak "pelik" cara penutupnya agar tidak mengutip botol itu kerana mereka mungkin membantu membebaskan hantu dari botol itu. Kalau cerita Jin Dalam Botol itu wujud, beginilah kot kisahnya. Yang sedihnya wanita ini bukan disantau oleh bekas suaminya tetapi jirannya dan kawan sekerjanya. 

Bekas suaminya mahukan rumah mereka yang dinamakan bersama walaupun wanita itu yang membayar semua pinjaman rumah kerana dia tiada pekerjaan tetap. Dia mahu menjual rumah itu dan membolot harta untuk diberikan oleh isteri keduanya. 

Dengan bantuan jirannya, lelaki ini menghantar santau berterusan. Dan kebetulan pula jirannya pula mahu beli rumah itu untuk tempat tinggal kepada anak-anaknya yang dah mula bekerja dan berumah tangga. 

Usaha yang nampaknya nampak licik dan sangat menarik, tetapi sejauh mana pelan manusia, pelan Allah SWT tidak siapa pun bisa mencantasnya. 

Akhirnya, jirannya ketahui juga muslihat mereka kerana selepas itu mereka terus cuba hantar dan terlepas masuk ke rumah itu seekor dan proses "membersihkan" hantu kena buat sekali lagi. 

Pesakit telah memaafkan bekas suaminya dan berharap lelaki itu mendapat pengajaran yang berguna.

2
2
1
1
0

Copy Link: