DARI BENTONG KE KL JUAL SAYUR KAMPUNG

Published by
KitaReporters

  

WAKTU pagi, terutama hujung minggu, bukan masa bersantai untuk Din Esai, 58 tahun. Seawal pukul lima pagi dia bergerak meninggalkan rumahnya di Bentong, mengharungi perjalanan 72 kilometer menuju destinasi di Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor untuk menjual sayur kampung. : KitaReporters.com

PELANGGAN membeli pisang jualan Din Esai di Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor.


Keretanya dipenuhi dengan pucuk paku dan kangkung, di samping barangan lain seperti bunga kantan, rebung dan pisang.

Adakala Din datang berjualan seorang diri, tetapi sering juga ditemani isteri, Zairita Yaakob, suri rumah sepenuh masa dan anaknya.

Mungkin tidak ramai yang sanggup melakukan seperti apa yang Din lakukan, berulang alik 144 kilometer merentas Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencari rezeki.   

Baginya, jarak bukan masalah di samping sayur kampung jualannya memang mendapat sambutan di lokasi dia berniaga sekarang.

“Jarak jauh tidak terasa apabila sudah selalu berulang alik,” katanya penuh mesra ketika ditemui di  lokasi dia berniaga baru-baru ini (10/11/2019).

DIN ESAI


ZAIRITA membantu suaminya, Din, berniaga.


Din bukan berniaga di gerai atau kedai. Keretanya menjadi kedai bergerak. Satu meja kecil diletakkan berhampiran kereta. Di atas meja ini disusun barang jualannya seperti sayur pucuk paku dan kangkung yang menjadi kegemaran pelanggannya.

Selain itu, diletakkan juga bunga kantan, rebung yang dibungkus siap dalam plastik serta pisang  menurut bekalan yang ada. Misalnya pisang abu, berangan, nangka dan lain-lain. Selain itu, betik juga dijual.

Bagi sayur pucuk paku dan kangkung pula, ia siap diikat. Harga jualan ialah RM4 bagi setiap ikat. Begitu juga bunga kantan.

Rebung pula dijual RM5 setiap bungkus plastik, sementara harga pisang berlainan bagi setiap kilogram bergantung kepada jenis pisang.

REBUNG, bunga kantan juga dijual oleh Din.


Lokasi Din berniaga agak strategik kerana di situ terdapat medan selera menempatkan banyak kedai makanan yang sentiasa dipenuhi pengunjung khususnya pada hujung minggu.

Di samping itu, setiap pagi Ahad, ada pasar menjual barang-barang lama dan barang terpakai di tempat letak kereta Taman Permata, yang juga dikunjungi ramai.

Pada hujung minggu, jualan sayur Din lebih laris. Ramai daripada mereka yang datang minum pagi atau berkunjung ke pasar barang lama akan singgah membeli sayur kampung dan barangan lain yang dijual.

Sememangnya, pucuk paku dan kangkung digemari ramai, khususnya bagi mereka yang ingin mengubah selera daripada membeli sayuran lain yang biasa dijual di pasar-pasar.

Tambah menarik pembeli, sayur yang dijual oleh Din bersih segar menghijau. Ada yang dia petik sendiri sehari sebelum dijual daripada kawasan tumbuhnya di paya, atau mengambilnya daripada pembekal.

SAYUR pucuk paku jualan Din.


“Sayur pucuk paku dan kangkung banyak tumbuh di kawasan paya. Pada musim hujan pucuk paku dan kangkung menjadi-jadi  membolehkan saya memetik lebih banyak,” kata Din.

Jika bekalan banyak, dia akan juga datang berniaga pada hari biasa, bukan hanya pada hujung minggu.  

Mengenai pucuk paku dan kangkung, Din memberitahu, kedua-dua sayur kampung itu mendapat permintaan ramai.  

“Saya menjual apa yang pelanggan hendak,” kata beliau yang pernah tinggal berbelas-belas tahun di kawasan Ampang, Selangor sebelum berpindah ke Bentong enam tahun lalu.

“Itulah juga salah satu sebab saya berniaga di kawasan Taman Permata ini kerana saya sudah biasa dengan kawasan di sini,” kata Din.

Kesediaannya berulang alik berniaga jauh dari rumah sangat membanggakan, menampakkan kegigihan serta semangat kental dalam dirinya mencari rezeki.

Jika ingin membeli sayur pucuk paku dan kangkung segar, bunga kantan dan rebung atau pisang, datanglah bertemu Din pada hujung minggu. Lokasi jualannya di medan selera Taman Permata, berhampiran pasar barang lama, tidak jauh dari Dewan Komuniti Lembah Keramat. - KitaReporters.com

DIN di atas 'kedai bergerak' nya.

                

16
1
0
0
0

Copy Link: