HOTEL CORUS KL CIPTA SEJARAH, KATA 'YA' KEPADA DURIAN
Published byMakan durian dalam hotel?
Eh! Boleh ke?? Sebab kan durian berbau dan kebanyakan hotel dah pun letakkan papan tanda ‘durian tidak dibenarkan’!
Durian365@Corus menawarkan bufet 'durian platter' tujuh hari seminggu sepanjang tahun yang bermula sejak 31 Ogos lalu pada kadar RM78 bagi dua orang berserta kopi atau teh di coffee house “Dondang Sayang” bermula pukul 12 tengah hari hingga 9 malam.
Muhammad Bakhtiar Wan Chik (kiri) merasmikan pelancaran program Durian365@Corus di Hotel Corus Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut bersamanya, Andrew Khoo (dua dari kanan). Kredit foto: Hotel Corus.
Jika persoalan itu yang menjadi tanda tanya… jawapannya memang benar ‘buah raja’ itu tidak dibenarkan masuk dalam mana-mana hotel.
Tetapi untuk pengetahuan kaki makan buah durian, anda kini dah boleh makan durian dengan selesa di sebuah hotel empat bintang iaitu Hotel Corus, terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Hotel Corus mencipta sejarah sebagai hotel yang pertama di Malaysia yang membenarkan tetamunya makan durian, tetapi ia hanya boleh dinikmati di dalam ruang kopi “Dondang Sayang’ berhampiran lobi hotel.
Antara set pencuci mulut 'durian platter' yang boleh dinikmati di Dondang Sayang.Sempena program “Durian365@Corus” pihak hotel menyediakan menu khas berupa set ‘durian platter’ membabitkan antara 10 hingga 12 pencuci mulut berasaskan durian seperti kek durian, ais krim durian, biskut durian, malah jika mahu menikmati durian segar ada pula sebuah bilik durian khas yang disediakan berdekatan.
“Kami melaburkan kira-kira RM100,000 untuk memastikan persekitaran kawasan ruang khas untuk makan durian tidak terjejas oleh bau buah tersebut,” ujar Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUI, Andrew Khoo yang memiliki dan menguruskan Hotel Corus ketika ditemui pada majlis pelancaran program “Durian365@Corus” baru-baru ini.
Muhammad Bakhtiar dan Andrew Khoo mencuba durian segar di Bilik Durian Hotel Corus.Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Dalam ucapan perasmiannya, Muhammad Bakhtiar memuji langkah Hotel Corus menerajui idea yang di luar kebiasaan itu, sekali gus menyokong langkah Kerajaan dalam mempromosikan pelancongan durian (duriotourism).
Menurut beliau, Kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada mana-mana pihak swasta untuk mempromosikan sebarang acara yang melibatkan pelancongan durian.
“Kami menggalakkan semua sektor bekerjasama dalam melonjakkan industri pelancongan supaya sasaran kedatangan 30 juta pelancong tahun hadapan dapat dicapai,” tambah Muhammad Bakhtiar.
"Memandangkan kawasan ruang kopi dan ruang lobi kami agak luas, jadi kami mampu memperuntukkan sebahagian daripadanya untuk dijadikan kawasan bufet durian. Di sini tiada durian segar jadi baunya minimal,” sambung Andrew.
Tambahnya lagi, pihaknya mewujudkan 'bilik durian' tertutup berhawa dingin untuk pencinta durian yang mahukan durian segar dalam suasana santai sebuah hotel yang diinspirasikan daripada bilik mencuba cerut atau wain.
Pada majlis itu, pihak media dibawa ke bilik khas berkenaan untuk mencuba tiga jenis durian yang diperkenalkan iaitu Musang King, Durian XO dan Durian Sultan.
Dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam setiap hari, harga untuk durian segar bermula dari RM37.60 nett sekilogram.
Jadi sambil membaca entri ini, jika keinginan untuk makan durian platter atau segar yang berkualiti secara santai dalam sebuah hotel sudah terasa membuak-buak, eloklah segera ke Hotel Corus Kuala Lumpur ini.
Bagi maklumt lanjut atau tempahan boleh menghubungi talian +603-2161 8888 atau layangkan emel ke [email protected].