KAYUH JELAJAH EROPAH PADA USIA 62 TAHUN!!

Published by
KitaReporters

USIA bukan penghalang bagi seorang bekas pengetua mencabar dirinya menjelajah merentasi sebahagian benua Eropah dengan berkayuh sejauh kira-kira 600 kilometer dari Paris hingga Amsterdam selama hampir lapan hari, September lalu.

Bahtiar (dari kanan) bersama rakan-rakannya, Khailani Abd Jalil, 64; Ridzuan Aziz, 63; dan Johan Aziz, 50, memulakan kayuhan pada awal pagi.


Bahtiar Sanusi, 62, dari Kuantan, Pahang, tidak pernah menduga apatah lagi bermimpi berjaya berbasikal bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 50 hingga 64 tahun.

Mereka bukanlah pengayuh tegar, namun dengan semangat membara, berbekal tenaga yang masih ada dan sokongan padu rakan serta ahli keluarga mereka tekad.

Menurutnya, keterujaannya berganda memandangkan ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke sana.

Bahtiar gembira dapat pengalaman berkayuh di Kota Paris. 


“Saya memang sukakan cabaran, dan kali ini jauh berbeza daripada kebiasaan, rasanya banyak tempat yang tak ditemui jika melancong dengan cara biasa. Jadi saya terima ajakan rakan-rakan untuk melancong sambil berbasikal.

“Sepanjang berjalanan, saya cukup tertarik dengan keindahan alam yang dapat diuruskan dengan baik... rasa kagum sentiasa menyelubungi jiwa. 

“Negara di Eropah lebih bersistematik malah memberi keutamaan kepada pengguna basikal berbanding kenderaan lain... jelas basikal menjadi pengangkutan penting bagi mereka,” katanya ketika dihubungi.

Negara di Eropah mengutamakan kenderaan basikal daripada yang lain.


Ketika berkongsi pengalaman bersama KitaReporters, katanya pengembaraannya begitu lengkap apabila turut berpeluang menyusuri tepian terusan, ladang, kebun, tasik, taman dan menyaksikan keunikan struktur bangunan-bangunan yang mempesonakan.

“Pengembaraan dimulakan dengan melawat kota Paris... ia agak luas dan memandangkan pakej kami murah dengan menggunakan basikal jadi terpaksalah terus berkayuh iaitu lebih kurang 60 km.

“Hanya beberapa tempat yang popular dilawati terutama oelh pelancong Malaysia yang datang ke sini antaranya, Seine River, Jambatan Cinta Pont des Arts, tugu Arc de Triomphe dan Muzium Louvre, sayangnya tak berkesempatan melihat potret Monalisa.

Di hadapan Menara Eiffel di Paris.


Bergambar kenangan di hadapan Muzium Louvre yang menempatkan potret Monalisa.


Bahtiar di hadapan tugu Arc de Triomphe,  merupakan gerbang kemenangan yang memberi penghormatan kepada mereka yang untuk Perancis ketika perang Napoleon.


“Bila sampai ke Paris, tak sah kalau tak ke Menara Eiffel... tanda bukti saya sudah di sini, ketika berdiri di sini hanya Allah sahaja tahu perasaan bercampur-baur ditambah pula dengan usikan rakan-rakan seperti tidak percaya lebih-lebih lagi dengan sebuah basikal,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi berbasikal dari Perancis sehingga ke Amsterdam tidak semudah yang digambarkan, banyak cabaran menanti.

“Setiap hari perlu habiskan kayuhan hampir 100 km untuk ke destinasi seterusnya dengan kelajuan mengikut kemampuan, namun tak boleh terlalu perlahan akan mengakibatkan tiba lewat malam. Jadi, kuranglah masa kami berehat sebelum sambung berkayuh keesokan hari.

“Malah dengan berbasikal terlalu lama, tak terlepas dengan masalah kerosakan rantai longgar, tercabut, paddle patah dan sebagainya. Perlu bersedia segala kemungkinan itu.

Berhenti seketika membaiki rantai basikal yang tercabut, yang lain boleh lepaskan penat.


Sesat! Masuk kebun jagung.


"Selain itu, berbasikal sambil melihat ‘waze’ adakalanya mengelirukan tambahan banyak jalan bersimpang-siur hingga boleh menyebabkan tersesat. Tapi sesat pun seronok juga... dapat masuk kampung, ladang dan kebun orang, pendek kata tetap juga cantik mata memandang,” katanya. 

Sementara itu, menurutnya untuk sampai ke lokasi penamat, berkesempatan singgah di bandar seperti Thourotte, Peronne, Arras di Perancis, Ghent dan Antwerp di Belgium, Roosendaal, The Hague dan Leiden di Netherlands serta banyak lagi pekan-pekan kecil. 

“Banyak pengalaman dikutip dan lebih ketara dapat meningkatkan kekuatan diri, daya tahan lebih tinggi, berkeyakinan dan latih mengawal emosi.

“Ada juga yang bertanyakan, sepanjang perkayuhan itu tak rasa menyesal ke? Maklumlah ada juga tempat kena naik bukit, tolak basikal. Tak menyesal, kerana saya sendiri berkeinginan walaupun penat saya anggap biasa dan tetap kena redah.

“Rakan-rakan juga main peranan mereka sungguh ‘supportive’ dan kelakar itu tambah seronok menjadikan tiada tekanan sepanjang perjalanan,” akhirinya.

Sah, berada di Arras. 


Seronok,  bertemu pelancong dari Malaysia di Zaanse Schans, Netherlands.

67
35
3
0
1

Copy Link: