MENGENALI PUTERA TAMPAN, TINGGI LAMPAI
Published byKETAMPANAN dan sikap merendah diri Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah membuatkan baginda amat disenangi rakyat. Jadi tidak hairanlah apabila setiap program yang melibatkan baginda sentiasa mendapat perhatian daripada masyarakat setempat yang tidak akan melepaskan peluang beramah mesra dan bergambar. : KitaReporters.com
Dalam satu program yang diadakan di Dataran Bentong di Bentong, Pahang baru-baru ini jelas kehadiran Tengku Fahd mencuri perhatian masyarakat berbilang kaum apatah lagi anak gadis dan remaja.
Anak raja berjiwa rakyat itu menjadi idola dan amat dinanti-nantikan oleh penduduk setempat sehingga ada yang sanggup datang dari jauh untuk bergambar dengan putera itu.
Malah sikap Tengku Fahd yang bersahaja dan tidak kekok untuk bermesra dan melayan siapa sahaja termasuklah masyarakat Orang Asli membuatkan ada yang datang ke majlis itu "hanyalah kerana Tengku Fahd."
Masyarakat setempat khususnya golongan muda dilihat sanggup 'berbaris' untuk bergambar dengan baginda yang tidak pernah menolak permintaan untuk merakamkan kenangan bersama masyarakat.
Seorang remaja Orang Asli dari Kampung Sungai Dua yang dikenali sebagai Tina berkata, dia datang ke program itu bersama rakan dan keluarganya dengan tujuan utama untuk bergambar dengan Tengku Fahd.
Katanya, gambar yang diambil akan dibingkaikan dan akan disimpan sebagai kenangan bermakna kepadanya sepanjang hayat.
"Saya datang sini hendak ambil gambar dan saya gembira Tuanku tidak mengecewakan harapan kami malah melayan kami dengan baik.
"Dia sangat tampan dan saya sebenarnya akan datang setiap majlis yang dihadiri Tuanku di daerah ini bagi bertemu dan bergambar," katanya ketika ditemui di Bentong.
Dalam pada itu, Batin Orang Asli Kampung Sungai Dua, Asra Jali berkata, masyarakat Orang Asli begitu berasa gembira apabila dapat berjumpa apatah lagi bergambar dengan baginda.
Katanya, sikap mesra dan rendah diri putera yang begitu tampan itu amat disenangi seluruh masyarakat Orang Asli.
Sementara itu, Pengerusi Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) berkata, Tengku Fahd amat disenangi seluruh masyarakat berbilang kaum dan menjadi ikon khususnya kepada golongan muda.
"Baginda sentiasa mengambil berat terhadap rakyat dan anak-anak muda dan tidak kekok berjumpa dengan masyarakat. Baginda juga sering memberikan nasihat dan menggalakkan program bagi membangunkan masyarakat dan anak muda," katanya.
Tengku Fahd yang merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzzam Shah dan Sultanah Kalsom merupakan seorang jejaka tinggi lampai dan berperwatakan tenang.
Tengku Fahd diputerakan pada 10 Februari 1994 di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Baginda menerima pendidikan di Garden International School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian di United Kingdom dan seterusnya Universiti Princeton, Amerika Syarikat.