Ahmad Bahtiar Abdullah menunjukkan tanda harga seikat petai yang mengandungi lima keping dengan harga RM 5 sahaja. 


Tabung bayaran yang disediakan oleh Ahmad Bahtiar di gerai jualan petainya yang berkonsep pilih, ambil dan bayar tanpa peniaga di pekan Labis, Johor.


Langkah seorang pesara menjual petai bagi mengisi masa lapang selepas bersara bukan sesuatu yang luar biasa, namun konsep berniaga pilih, ambil, bayar (PAB) di mana tiada penjaga di gerainya merupakan sesuatu yang baharu bagi masyarakat di Labis, Johor.

Ahmad Bahtiar Abdullah, 59, mengakui terdapat dalam kalangan rakan terdekat yang agak kurang yakin dengan apa yang dilakukannya pada peringkar awal dahulu, namun sudah mula menerima baik konsep perniagaan yang cuba diperkenalnya itu ketika ini.

"Mungkin apa yang saya lakukan ini sesuatu yang baharu dan konsep ini belum meluas di negara ini dan biasalah, ada kalanya masyarakat memerlukan masa untuk menerima sesuatu yang baharu. 

"Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa masyarakat kita hari ini merupakan masyarakat yang berfikiran positif dan apa yang saya lakukan ini juga merupakan salah satu kaedah yang dapat mendidik masyarakat agar bersikap jujur serta ikhlas dalam setiap urusan terutama urusan jual beli," katanya ketika ditemui.

Ahmad Bahtiar hanya membuka gerainya pada pukul 11 pagi dan akan datang kembali untuk menutup gerai pada pukul 3 petang.
Menurutnya, dia mula berniaga tanpa kehadirannya di gerai sejak lebih sebulan lalu dan setakat ini tiada sebarang kejadian kehilangan barangan jualan atau kejadian lain yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Malah sebaliknya terdapat beberapa kejadian dia mendapati jumlah wang yang terdapat di dalam tabung bayaran melebihi jumlah petai yang dijual dan ada kalanya jumlah lebihannya mencecah sehingga RM50 atau lebih pada waktu tertentu.

Ujar Ahmad Bahtiar, memandangkan dia tidak berada di gerainya, dia bersangka baik dengan beranggapan ia merupakan sedekah daripada pembeli dan apa yang dilakukannya dia akan berkongsi rezeki tersebut dengan golongan yang memerlukan atau mendermakan semula ke tabung masjid.


Konsep geri jualan tanpa peniaga yang diperkenalkan oleh Ahmad Bahtiar  di Labis, Johor semakin diterima oleh penduduk setempat.


"Sebenarnya saya berhasrat untuk mendapatkan khidmat individu yang mampu mereka bentuk dan menyiapkan mesin yang berfungsi seperti mesin jualan air bagi tujuan jualan petai  yang boleh diletakkan di lokasi tertentu. 

"Mungkin ada yang beranggapan ia sebagai satu 'idea gila', sebaliknya bagi saya itu bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan kerana saya berpendapat bahawa sesuatu itu perlu ada titik mulanya walaupun dilihat sebagai sesuatu yang pelik mahu pun mengarut," kata pesara pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini.

Dalam masa sama sebelum hasratnya untuk memiliki 'mesin petai' menjadi kenyataan, dia turut bercadang menambah jumlah bilangan jualan gerai petai tanpa peniaga di beberapa lokasi bersesuaian di sekitar pekan Labis, Cha'ah dan Tenang Stesen dalam tempoh terdekat jika mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Labis, Johor.

Pembeli hanya perlu memasukkan duit ke dalam tabung bayaran yang disediakan selepas membeli petai di gerai milik Ahmad Bahtiar.
Katanya, antara faktor utama yang mendorong dia menjalankan konsep perniagaan  tanpa penjual iaitu faktor margin yang semakin kecil, ketidakupayaan mengupah pekerja selain dalam masa sama dia terpaksa membuka gerai jualan lain di beberapa lokasi berbeza di samping niat untuk mendidik masyarakat membiasakan diri dan jujur ketika berurusan dengan konsep yang telah lama diperkenalkan di luar negara itu.

Menurutnya lagi, selain petai yang dijual berasaskan jumlah keping dia juga menjual petai yang sudah siap dibuang kulit yang dinamakan 'petai kasih sayang' kerana suri rumah tidak perlu bersusah payah untuk membuang kulit untuk memasak petai yang dibeli.

Selain menjual petai yang diperolehi dari penduduk setempat, dia juga sering membantu penduduk kampung untuk memasarkan hasil tanaman yang diusahakan mereka secara kecil-kecilan seperti cendawan kukur, kerdas dan jering.

Sekiranya bekalan petai tempatan berkurangan terutama ketika musim hujan di mana kerja memetik petai tidak dapat dilakukan, dia turut mendapat bekalan petai dari pembekal di Kuala Pilah dan Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Selain menjual petai, Ahmad Bahtiar juga membantu memasarkan hasil tanaman penduduk kampung yang mengusahakan tannaman secara kecil-kecilan.

"Saya pun tidak menyangka akan 'jatuh cinta' dengan kerjaya baharu ini kerana pada mulanya saya hanya berniaga secara suka-suka bagi memenuhi masa terluang dengan aktiviti berfaedah selepas bersara selain untuk membantu penduduk kampung memasarkan hasil kebun mereka.

"Saya gembira dengan apa yang saya lakukan ini biar pun anak-anak lebih suka jika saya duduk rehat memandangkan mereka sudah berkerjaya dan berpendapat ketika ini adalah masa paling sesuai untuk mereka membalas jasa kami suami isteri," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan tidak mengalami masalah kekurangan bekalan petai pada masa akan datang dia sudah pun bersiap sedia menanam lebih 50 batang petai di kebunnya ketika ini. - KitaReporters


Salah seorang pelangan Ahmad Bahtiar yang sudah mula memahami konsep gerai tanpa peniaga yang diperkenalnya.

8
8
0
13
1

Copy Link: