.



Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada 13 Februari 2025 mengumumkan Kerajaan Madani telah bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi dari RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa mulai 16 Februari 2025. 

Penyelarasan ini, kata menteri, dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka. 

Hari ini (13 Februari 2025), ujarnya, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksimum Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram. 

"Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan Madani akan memperuntuk sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini (2025). 

"Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini (2025), katanya lagi. 


Kredit foto: Kosmo Digital


Mohamad berkata, walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan Madani sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara. 

"Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna.

"Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan Madani menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi. 

"Justeru semua pihak diseru untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan. Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika," jelas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
11
0
8
0

Copy Link: