Pembangunan ekonomi komuniti adalah salah satu aspek penting dalam usaha untuk mengurangkan nisbah kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup kumpulan kurang berkemampuan. 

Kaedah yang berkesan untuk mencapai matlamat ini adalah dengan menyokong usahawan produk komuniti. Namun untuk memastikan keberhasilan dan keberlanjutan usaha ini, ia memerlukan gabungan kepakaran pelbagai pihak termasuk kepakaran dari institusi pengajian tinggi, terutama dalam aspek pembangunan produk dan strategi pemasaran.

Universiti merupakan pusat ilmu pengetahuan yang memiliki pelbagai kepakaran dalam bidang-bidang yang relevan dengan bidang perniagaan dan pemasaran. 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) umpamanya memiliki kepakaran dalam bidang pembangunan sosial, ekonomi, perniagaan, pemasaran produk selain menawarkan pelbagai perkhidmatan sokongan lain seperti teknologi dan pengurusan. 

Penglibatan universiti dalam membantu usahawan produk komuniti berpotensi besar memberikan impak yang signifikan dalam meningkatkan kualiti produk dan keberkesanan strategi pemasaran. 

Ini seterusnya akan membantu melonjakkan prestasi jualan sekaligus meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup komuniti terlibat.

Jika diperhalusi, antara cabaran utama yang dihadapi usahawan produk komuniti adalah dalam aspek pembangunan produk. 

Produk yang dihasilkan sering kali kurang berkualiti, tidak mempunyai reka bentuk yang menarik atau tidak memenuhi piawaian yang diperlukan untuk pasaran yang lebih luas. 

Ia memerlukan kepakaran dan peranan universiti bagi menambah baik kelemahan yang terdapat pada produk dan strategi pemasaran yang diguna pakai oleh usahawan komuniti.


Antara usahawan komuniti yang telah berjaya memasarkan produk hasil bimbingan daripada agensi korporat, jabatan kerajaan dan UMT


Melalui kolaborasi strategik antara UMT, Yayasan Petronas dan ECERDC, penganjuran program Yayasan Petronas empowerECER Latihan Kemahiran & Keusahawanan berjaya mengangkat perusahaan perniagaan komuniti daerah Mersing meningkatkan nilai jualan serta melonjakkan pulangan lebih tiga kali ganda daripada sebelumnya.

Program yang dirangka khas itu melibatkan 169 peserta terdiri daripada komuniti Mersing pelbagai kaum termasuk Orang Asli yang telah menunjukkan minat mendalam dalam mengembangkan perniagaan yang diusahakan.

Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM) UMT, Dr. Zuha Rosufila Abu Hassan berkata, UMT sering meletakkan masyarakat sebagai keutamaan dalam setiap aspek penyelidikan dan pembangunan untuk dimanfaatkan.

“UMT komited membantu komuniti dalam peningkatan pendapatan dan kualiti kehidupan kumpulan sasar seperti golongan berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal dan sebaginya. 

"Pelaksanaan projek komuniti adalah berfokus kepada  pelaksanaan pantas, impak tinggi, mampu milik, memenuhi pasaran dan lestari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi dan Apresiasi Program Yayasan Petronas-UMT di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing baru-baru ini.

Katanya, program pembangunan usahawan komuniti itu mempunyai beberapa elemen pengukuhan perniagaan melibatkan aspek kemahiran, bimbingan, pendedahan platform digital, teknik pemasaran produk, pembungkusan produk, pengiklanan serta mendorong peserta ke arah keusahawanan yang lestari, terjamin dan progresif. 


Nurfarizan Hassan (tengah) mempamerkan lemang sejuk beku dan juga pes ikan bakar yang dijualnya hasil bimbingan daripada agensi terlibat.


Secara keseluruhan, program pemindahan ilmu berbentuk tanggungjawab sosial itu telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 individu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebagai usahawan dan tenaga kerja berkemahiran melalui program pembangunan modal insan.

Antara agensi yang turut terlibat dalam program pembangunan usahawan komuniti itu iaitu Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO, MARA, TEKUN, AIM, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), KWSP dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang turut bersama menyokong pelaksanaan program tersebut. - KitaReporters/Kenyataan Media

6
18
0
11
0

Copy Link: