Langkah proaktif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melangkah ke tahap yang lebih tinggi dalam pelbagai sektor seperti teknologi, pertanian, peruncitan dan syarikat pemula niaga menjadi fokus utama kerjasama strategik yang dimeterai antara firma guaman terkemuka, Akmar Shamsul Kahar & Co (ASKCO), Permodalan Kedah Bhd (PKB) bersama Corporate Mind Group dan Jakarta Business School (JBS).

Ketua Rakan Kongsi ASKCO, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, ia  membuka jalan baharu untuk mengukuh PKS di negara ini. 

Melalui pakatan tersebut, lima syarikat PKS disasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2025, di samping membimbing 700 usahawan menyertai 17 program sokongan menjelang akhir tahun ini (2025).

“Ramai usahawan PKS kekurangan perancangan jangka panjang. Perjalanan mereka sering kali berakhir selepas mencapai jualan. Melalui kerjasama ini, kami mahu membantu mereka merealisasikan potensi penuh perniagaan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Mohd Azad Jasmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Corporate Mind Group, Siti Nurfarhana Omar Aziz dan JBS yang diterajui Tan Sri Dr Nordin Kardi.


Dari kiri, Mohd Azad Jasmi, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar, Dr Nordin Kardi dan Siti Nurfarhana Omar Aziz selepas menandatangi memorandum persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur pada 20 Januari 2025.


Visi Jangka Panjang untuk PKS Malaysia

MoU ini turut memperkukuh matlamat untuk memperbaiki kerangka ekonomi negara dengan memperkenal sokongan strategik yang melibatkan rangkaian perundangan, kewangan, dan pembangunan usahawan.

ASKCO, yang berpengalaman luas memberikan khidmat nasihat perundangan kepada pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa, kini memperluas rangkaiannya ke pasaran global termasuk Indonesia, Singapura, Dubai, Switzerland, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), dan China.

Di bawah naungan ASKCO, Corporate Mind Group memainkan peranan penting dalam memberi penyelesaian inovatif kepada usahawan menerusi bidang seperti penggabungan dan pengambilalihan, rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), IPO, serta strategi modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE).


Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar 


Kerjasama dengan JBS untuk Pasaran Indonesia

Muhamad Akmal menambah, melalui kerjasama ini, ASKCO dan Corporate Mind Group turut bekerjasama dengan JBS yang diterajui Dr Nordin Kardi. Gabungan ini bertujuan membuka peluang perniagaan serta memupuk hubungan strategik antara pemilik perniagaan Malaysia dan Indonesia.

“Kerjasama ini bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan perniagaan, tetapi juga menyediakan peluang pendidikan kepada individu yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di JBS. Ia adalah platform bagi memperluas kemahiran dan rangkaian kenalan di pasaran serantau,” ujarnya.


Dr Nordin Kardi.


Tambahnya, kerjasama dengan PKB akan membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyediakan kepakaran dalam isu tanah dan hartanah. Ia juga bertujuan memperkukuh kehadiran PKS tempatan di pasaran antarabangsa.

“Ini adalah komitmen kami untuk memastikan strategi pemulihan dan pertumbuhan perniagaan yang memberi kesan besar serta berkekalan kepada ekonomi negara,” katanya lagi. 

Melalui pakatan ini, ASKCO, PKB, Corporate Mind Group dan JBS terus bertekad untuk menjadi pemacu utama dalam memperkasakan ekosistem PKS, seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat global. - KitaReporters


Mohd Azad Jasmi, 

15
13
0
9
0

Copy Link: