Tahun Koperasi Antarabangsa 2025! Kukuhkan peranan koperasi sekolah! Bangunkan nilai keusahawanan!
Published byAngkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyeru koperasi sekolah di seluruh negara untuk memainkan peranan aktif dalam menyemarakkan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.
Presiden ANGKASA merangkap Presidean ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ia bertepatan dengan tema IYC 2025, “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat” yang menekankan koperasi sekolah sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik koperasi tetapi juga bersedia menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan global.
Tambahnya lagi, IYC 2025 menjadi peluang terbaik memperkukuh peranan koperasi sekolah dalam membangun keusahawanan dan modal insan berkualiti.
“Menerusi sambutan IYC 2025, koperasi sekolah disaran untuk meneroka peluang keusahawanan melalui program dan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan hasil kolaborasi antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam memperluas jaringan dan kerjasama strategik pada peringkat nasional dan global.
“Saya yakin dan percaya menerusi penglibatan dalam IYC 2025 ini, koperasi sekolah dapat meneroka sektor-sektor baharu yang lebih relevan dengan perkembangan semasa seperti ekonomi digital, teknologi hijau, dan industri kreatif.
"Ini akan memastikan koperasi sekolah kekal relevan dan pelajar bersedia menghadapi cabaran masa depan.” katanya ketika berucap merasmikan Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa dan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah, Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS), dan Ikon Muda Koperator Sekolah 2024 Peringkat Kebangsaan “Koperasi Sekolah Pemangkin Generasi Madani” di Butterworth pada 12 Januari 2025.
Abdul Fattah selaku Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pacific (ICA-AP) berkata, ANGKASA turut melihat potensi luas untuk meningkatkan perkongsian sumber dan kepakaran antara koperasi di ASEAN dan Asia khususnya model koperasi sekolah.
“Keunikan koperasi sekolah di Malaysia, ditambah dengan kejayaan pencapaian sebanyak 37 buah koperasi sekolah membabitkan koperasi sekolah KPM (19 buah - Harian,Kolej Vokasional,Agama) dan MARA-MRSM (18 buah) telah mencatatkan perolehan lebih RM1 juta, dengan sebuah koperasi mencapai RM2 juta, telah menjadi model kepada masyarakat antarabangsa untuk turut membangunkan koperasi sekolah di negara masing-masing.
“Sebagai contoh, di Kemboja, dua buah koperasi sekolah telah berjaya ditubuhkan, iaitu Norol Iman High School Cooperative dan An-Nikmah School Cooperative.
"Ini merupakan satu kebanggaan kerana tanpa usaha berterusan daripada para guru dan pelajar, kejayaan seperti ini tidak mungkin dapat dicapai.
“Saya percaya, sekiranya lebih banyak koperasi sekolah ditubuhkan di luar negara, ia dapat membuka peluang kepada kerjasama strategik dan perniagaan serantau antara koperasi.
"Ini bukan sahaja akan meningkatkan kemahiran keusahawanan koperasi dalam kalangan pelajar melalui pengalaman perniagaan rentas negara, tetapi juga akan menyumbang kepada peningkatan perolehan koperasi sekolah pada masa hadapan,” katanya lagi.
Terdahulu, sebanyak 300 koperasi sekolah melibatkan 360 orang guru dan pelajar diraikan dalam Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah, Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS), dan Ikon Muda Koperator Sekolah 2024 Peringkat Kebangsaan “Koperasi Sekolah Pemangkin Generasi Madani” yang berlangsung bermula pada 10 hingga 12 Januari 2025.
Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah, Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS), dan Ikon Muda Koperator Sekolah memberi pengiktirafan kepada koperasi sekolah yang terbaik pada peringkat negeri dan kebangsaan.
Lebih 20 anugerah telah disampaikan termasuklah Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2024 Peringkat Kebangsaan; Anugerah Pelancongan Koperasi Sekolah (APKS) 2024 Peringkat Kebangsaan; Anugerah Ikon Muda Koperator Sekolah Terbaik 2024 Peringkat Kebangsaan; dan Pertandingan Produk Kreatif Koperasi Sekolah Terbaik 2024 Peringkat Kebangsaan. - KitaReporters/Kenyataan Media