Kepakaran Malaysia di luar negara, khususnya syarikat Tenaga National Berhad (TNB) terserlah apabila kini memiliki, membangun, dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharu (RE) di seluruh United Kingdom dan Ireland.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek ladang solar Eastfield dan Bunkers Hill yang berkapasiti 102 Megawatt (MW) oleh TNB di UK itu, mempamerkan kepada kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.

"Syabas dan sekalung penghargaan kepada TNB yang kini memiliki, membangun, dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharu (RE) di seluruh UK dan Ireland," ujar Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran ladang solar Eastfield dan Bunkers Hill itu.



Menurutnya, beliau turut menekankan bahawa kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.

"Justeru, usaha dalam bidang ini termasuk di UK, pasti bermanfaat disokong dengan kajian dan penerokaan (oleh TNB) dan daya cipta daripada pemain korporat serta para profesional bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharu (RE).

"Hatta impaknya nanti akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi industri peralihan tenaga utama," tambah Anwar.



Terdahulu, sewaktu lawatan kerja di London UK, Perdana Menteri dan delegasi sempat singgah di Battersea Power Station yang dimiliki konsortium syarikat-syarikat Malaysia.

Konsortium itu terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Ketersediaan segala infra di sini (Battersea Power Station) mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) ini ke tahap lebih tinggi di masa hadapan," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
10
0
9
0

Copy Link: