Penduduk dan menteri bantah! Tapi tambang feri Langkawi tetap dinaikkan! Hanya untuk pelancong asing!
Published by/
Penduduk dan pelancong bersetuju dengan arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya pengusaha feri di Langkawi menarik balik pengumuman kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
Menteri, Anthony Loke Siew Fook kesal dengan tindakan terburu-terburu pengusaha terbabit mengumumkan kenaikan kadar tambang antara RM3 hingga RM10.50 bermula 1 Januari 2025.
Menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Disember 2024, Kementerian Pengangkutan baru mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kementerian Kewangan, pada Jumaat, 13 Disember 2024 lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama termasuk pengusaha feri di Langkawi.
Oleh itu amaran beliau kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik perlu dipandang serius.
Melalui hantaran Facebooknya, Loke memohon pengusaha feri itu menarik balik pengumuman yang dibuat serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pagi 15 Disember 2024, oleh Pengurus Operasi, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Norhafiz Abdul Wahid memaklumkan kenaikan harga tiket membabitkan kategori pelancong warganegara, bukan warganegara dan penduduk tempatan.
Bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis-Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24, manakala kanak-kanak pula RM16 dinaikkan kadar sama menjadi RM19.
Kadar tambang laluan Kuala Kedah-Langkawi pula, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24.
Bagi pelancong dewasa bukan warganegara, perjalanan Kuala Perlis-Langkawi berharga RM27, dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah-Langkawi RM34.50, dinaikkan RM10.50 menjadi RM45.
Kadar tambang kanak-kanak bukan warganegara pula, bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi, harga asal RM19.50 dinaikkan RM5.50 menjadi RM25, manakala perjalanan Kuala Kedah-Langkawi RM25.50 naik RM6.50 menjadi RM32.
Bagi penduduk Langkawi pula, kadar tambang asal dewasa RM15 dinaikkan RM3 menjadi RM18 untuk perjalanan Kuala Perlis-Langkawi, kanak-kanak RM10 naik RM3 menjadi RM13.
Kategori sama bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi harga asal RM20 naik RM3.50 menjadi jadi RM23.50, manakala kanak-kanak dari RM14 naik RM3.50 jadi RM17.50.
Tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya masing-masing kekal RM13 dan RM17 bagi Kuala Perlis-Langkawi, manakala RM10 dan RM14 bagi Kuala Kedah-Langkawi.
Namun pada petang 15 Disember 2024, Pengurus Besar, Langkawi Ferry Line Ventures, Dr Baharin Baharom pula mengeluarkan kenyataan baharu dengan menyatakan, kenaikan tambang bagi warnegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 dibatalkan atas nasihat Kementerian Pengangkutan.
"Walau bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025," tambah kenyataan tersebut. - KitaReporters