Madcash Sdn. Bhd., pembangun platform fintech MADCash (Multiply Assist Donate Cash) mengumumkan pada 28 Julai 2023 bahawa ia telah bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk menyediakan pembiayaan mikro sebanyak RM1,500 kepada setiap 60 usahawan wanita B40 yang akan mengambil bahagian dalam program peningkatan kemahiran yang dikenali sebagai Wanita Jana Rezeki bermula pada September hingga November 2023. 

Pembiayaan ini bertujuan untuk membantu menampung kos menghadiri kursus masakan, jahitan, atau penjagaan selepas bersalin.

Usahawan wanita yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan mikro daripada MADCash perlu memohon melalui platform dalam talian (www.getmadcash.com). Pembiayaan ini bebas faedah, dan penerima dikehendaki membayarnya dalam tempoh sepuluh bulan.

Program Wanita Jana Rezeki oleh PWDC disasarkan untuk memastikan usahawan mendapat kemahiran daripada tenaga pengajar yang berkelayakan, membantu mereka menghasilkan produk untuk memenuhi permintaan pasaran dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk bersaing dalam dunia perniagaan.


Nuraizah Shamsul Baharin 


Pengarah Urusan MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, "Pembiayaan ini akan membolehkan peserta memperoleh pendidikan dan kemahiran yang betul daripada jurulatih yang berkelayakan. 

"Ini adalah langkah penting yang boleh menjadikan mereka peniaga yang lebih baik selain membantu mereka meningkatkan mata pencarian. 

"Kami teruja dapat menyertai PWDC dalam program murni ini untuk menyokong komuniti B40 di negeri Pulau Pinang.”

Ong Bee Leng, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC pula berkata, “Program Wanita Jana Rezeki direka untuk menyokong wanita daripada golongan berpendapatan rendah untuk membina aliran pendapatan mereka sendiri. 

"Tahun ini (2023), program ini memberi tumpuan kepada kemahiran usahawan yang berkaitan dengan masakan, jahitan, dan penjagaan lepas bersalin. 

"Mereka akan diberi latihan intensif selama tiga bulan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang yang diminati masing-masing."

“Kerjasama dengan MADCash membolehkan kami terus mendekati lebih ramai usahawan wanita yang memerlukan sokongan dalam membina atau mengembangkan perniagaan mereka. 

"Oleh itu, kami percaya dengan kerperluan kewangan yang dipenuhi, kurang masalah akan timbul dalam keluarga akibat kekangan kewangan. Ia membantu membina rumah tangga yang lebih harmoni,” tambah Bee Leng.

“MADCash akan terus memantau kemajuan usahawan-usahawan ini dan mereka akan mendapat sokongan daripada kami dalam bentuk peningkatan kemahiran kewangan dan perniagaan, rangkaian, bimbingan, dan sokongan rakan peniaga, bernilai RM3,000 seorang. 

"Ini bagi memastikan mereka terus berkembangan,” jelas Nuraizah. - KitaReporters/Kenyataan Media


Ong Bee Leng

 

13
14
0
15
0

Copy Link: