Tunggu! Reka bentuk mikrocip Made in Malaysia! Hasil usaha sama kita dengan ARM Holdings Plc! - PM
Published byJangan terkejut nanti ada mikrocip "Made in Malaysia" (Buatan Malaysia) hasil usaha sama kerajaan Malaysia dengan syarikat gergasi reka bentuk seni bina cip dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha sama ini juga merangkumi komitmen untuk melahirkan 10,000 jurutera litar bersepadu (intergrated circuit atau IC) dalam tempoh empat tahun.
"Ini satu langkah penting dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan menjadi tulang belakang kepada kemampanan industri teknologi tinggi di negara ini," kata beliau dalam hantaran akaun Facebooknya pada 5 Mac 2025.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani kini terus melangkah ke hadapan dalam industri teknologi tinggi dengan memeterai kerjasama strategik bersama gergasi reka bentuk seni bina cip iaitu ARM Holdings Plc.
"Perjanjian yang dimeterai ini bukan sekadar memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
"Tetapi juga menandakan era baharu di mana Malaysia bukan lagi hanya bertindak sebagai hab pembuatan cip, sebaliknya turut menjadi peneraju dalam inovasi dan pembangunan teknologi tersebut di rantau ini.
"Melalui inisiatif ini, Malaysia bakal menyaksikan lahirnya mikrocip ‘Made by Malaysia’," tegas Anwar.
Beliau berkata,usaha sama ini adalah suatu pencapaian yang mencerminkan keupayaan serta daya inovasi anak watan dalam bidang berteknologi tinggi.
"Ia bukan sekadar satu lonjakan ke hadapan, tetapi bukti bahawa negara kita mampu berdiri seiring dengan kuasa besar dunia dalam industri semikonduktor," tambahnya.
Menurut Anwar, perjanjian ini membolehkan syarikat tempatan turut berpeluang mengakses teknologi serta portfolio harta intelektual (IP) milik ARM, sekali gus membolehkan mereka bersaing pada peringkat global dengan keupayaan inovasi yang lebih mantap.
"Apa yang lebih bermakna adalah kerjasama ini akan memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara dengan membangunkan rantai bekalan tempatan yang lebih utuh dan mampan.
"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal mendapat manfaat besar menerusi peluang penyertaan dalam industri berteknologi tinggi ini, sekali gus membuka ruang bagi lebih banyak produk semikonduktor yang bukan sahaja direka bentuk di Malaysia tetapi juga dipasarkan ke peringkat antarabangsa," kata Perdana Menteri.
Katanya, dengan langkah ini, Malaysia sedang meletakkan asas kukuh untuk menjadi hab inovasi teknologi yang disegani di rantau ini.
"Insya-Allah, dengan kepakaran, kesungguhan, dan dokongan padu semua pihak, negara akan terus mara ke hadapan sebagai pemain utama dalam arena semikonduktor dan AI di peringkat global," harap Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media