Gaji naik, harga barang naik? Pengguna disaran mula pantau! Lapor kepada KPDN jika berlaku kenaikan!
Published byPenjawat awam menerima berita gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lepas mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Pengumuman itu dibuat pada masa yang paling sesuai iaitu
pada Hari Pekerja.
Bagaimanapun di sebalik berita gembira ini, wujud
kegelisahan dalam kalangan orang ramai bahawa kenaikan harga makanan dan
barangan mungkin akan berlaku pada 2025 susulan kenaikan gaji penjawat awam.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi telah mengambil tindakan awal dengan menyatakan pada sidang
media pada 22 Ogos 2024 lepas, beliau tidak mahu melihat kenaikan harga barang
secara tidak munasabah berlaku disebabkan pelarasan gaji penjawat awam.
Sehubungan itu, penulis telah mendapatkan cadangan dan pendapat daripada beberapa persatuan pengguna mengenai isu tersebut.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata paling ketara, kenaikan harga
makanan lazimnya akan berlaku.
“Pihak penguat kuasa di setiap kementerian berkaitan perlu
sentiasa membuat pemantauan dengan lebih aktif di setiap rantaian makanan, merangkumi
pembekal, pemborong dan peniaga kecil supaya tidak wujud pihak luar atau orang
tengah yang mengawal harga barang terutama bagi bekalan makanan dan lauk basah,
sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya kepada KitaReporters.
Beliau berkata demikian apabila ditanya langkah terbaik supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan dan barangan susulan daripada kenaikan gaji penjawat awam.
Nur Asyikin berkata punca kenaikan mendadak pada harga
makanan pada ‘end user’ (pengguna) akan bermula dari orang tengah yang bertindak
mengawal harga bekalan makanan walaupun pada hakikatnya harga makanan
sepatutnya mengikut faktor bekalan dan permintaan.
“Pemantauan ini tidak seharusnya melibatkan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sahaja, kementerian lain
perlu terlibat bersama, antaranya Kementerian Pertanianan dan Keterjaminan
Makanan serta agensi kerajaan yang lain.
“Semua kementerian dan agensi kerajaan perlu bersatu padu bersama-sama
bertindak membasmi peranan dan aktiviti orang tengah kerana sudah pasti orang
tengah ini akan mengambil peluang untuk “untung atas angin” iaitu meraih
keuntungan menerusi pengawalan harga bekalan makanan,” katanya lagi.
Justeru, KPDN harus memastikan pihak peniaga di sektor premis makanan/gerai/pasar/kiosk meletakkan harga pada setiap menu makanan mereka, ia adalah penting kerana pengguna berhak mendapatkan maklumat harga makanan sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli mengikut bajet (kemampuan) kewangan masing-masing, tambahnya.
Nur Asyikin Aminuddin
Nur Asyikin berkata peranan pengguna pula adalah membuat aduan harga makanan yang tidak masuk akal (kenaikan harga keterlaluan) kepada KPDN, sekarang amat mudah untuk pengguna membuat aduan kerana pengguna mempunyai pelbagai pilihan dan kaedah, sama ada melalui aplikasi EzADU KPDN, eAduan KPDN, secara bersemuka di pejabat KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan Negeri dan WhatsApp KPDN.
“Sejak kebelakangan ini, memang ada beberapa laporan
daripada KPDN mengesahkan terdapat isu pencatutan harga (mengambil untung suatu
barangan atau perkhidmatan secara berlebihan) pada premis makanan yang diadu.
“Ini bermakna, peniaga yang tiada etika dan mengambil kesempatan memang wujud. Oleh itu, pengguna digalakkan untuk membuat aduan kepada KPDN sekiranya harga yang ditawarkan adalah terlalu mahal supaya KPDN mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga berkenaan,” kata Nur Asyikin.
Beliau berkata perkara ini perlu dijadikan teladan kepada
pihak peniaga lain supaya bertanggungjawab dan berhati-hati kerana pengguna dan
KPDN akan sentiasa memantau harga jualan.
Setiap peniaga perlu tahu Akta, Peraturan dan Garis Panduan berkaitan
dengan amalan perniagaan supaya para peniaga kekal beretika dalam menjalankan
perniagaan mereka, ada had yang perlu dipatuhi supaya peniaga untung dan pada
masa sama pengguna di rantaian bekalan juga mendapat produk dibeli pada harga berpatutan
dan selamat, jelasnya.
Sementara itu, Nur Asyikin berkata peniaga yang menggunakan teknologi
kecerdasan buatan (AI) diingatkan supaya tidak mengelirukan orang ramai iaitu
tawaran diiklankan tidak sama apabila membelinya, pengguna harus berwaspada
kerana wujud ‘scammer’ menggunakan AI menyamar sebagai pempengaruh terkenal
untuk memperdaya pengguna membeli produk yang tidak wujud.
“Pihak kementerian yang berkaitan diminta mempertimbang meminda
Akta atau Garis Panduan sedia ada dengan mengambil kira cabaran oleh teknologi
AI ini yang bakal menimbulkan permasalahan pada kemudian hari sekiranya ia
tidak dikawal selia dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata sebelum pengguna membuat sebarang pembelian, bandingkan terlebih dahulu harga makanan atau produk, pada masa sama KPDN juga harus kemas kini dan mempromosikan aplikasi Price Catcher kerana ramai yang masih tidak tahu kewujudan aplikasi dikendalikan KPDN itu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen
Abdul Kader pula berkata kenaikan gaji pejawat awam tidak ada kaitan dengan
kenaikkan harga makanan dan barangan, jika harga dinaikkan ia akan menyebabkan
kesulitan dan kekangan kewangan kepada sebahagian pengguna yang bukan penjawat
awam iaitu pekerja swasta.
Oleh itu, KPDN perlu memastikan aktiviti tidak beretika yang
menekan dan membebankan pengguna dapat dibenteras dengan lebih menyeluruh dan
berkesan.
“KPDN perlu turun padang (turun ke lapangan) dan memeriksa harga makanan lebih kerap dan tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Selain itu, KPDN juga bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan,” katanya.
Mohideen Abdul Kader
Mohideen berkata ketiadaan tanda harga yang telus ini sering
menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan kerana mereka tidak mempunyai
senarai harga yang didokumenkan untuk dirujuk apabila berlaku pertikaian
berhubung bil mereka.
CAP juga bimbang dengan keadaan bekalan makanan di Malaysia
kerana sebuah laporan menyatakan bahawa Malaysia bergantung pada 30 hingga 40
peratus makanan diimport untuk memenuhi keperluan tempatannya, ia boleh menjadi
situasi berbahaya pada masa sekarang dan CAP telah memberi amaran mengenainya
seawal bulan Ogos, tahun 2018, katanya.
“Pada tahun 2012, saintis pertanian, Mohd Peter Davis
memberi amaran bahawa Malaysia akan menghadapi risiko kelaparan jika mengalami
krisis ekonomi yang besar. Tidak seperti negara pengeluar makanan seperti
Thailand dan Vietnam, kita tidak mempunyai pengeluaran makanan yang
berkesinambungan.
“Pada masa terdesak, negara-negara pengeksport makanan ini sudah pasti akan mengutamakan penduduknya sebelum mengeksportnya ke negara lain termasuk Malaysia yang memerlukannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata CAP menggesa kerajaan memperkenalkan
dasar pertanian yang komprehensif untuk memastikan jaminan bekalan makanan di Malaysia
selepas melalui pengalaman buruk akibat pandemik COVID-19 dulu, ia adalah
pelajaran pahit bagi kita semua. - KitaReporters