Oleh: SUHANA ABDUL MUTALIB

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


BERMULA dengan hanya medium perkongsian video pendek yang berlatarkan muzik terkini, laman sosial TikTok telah beralih kepada platform e-dagang atau jual beli dalam talian menerusi pelancaran TikTok Shop atau lebih terkenal dengan gelaran “Beg Kuning” di pasaran Malaysia.

TikTok dalam satu kenyataannya sewaktu memperkenal elemen terbaharu itu berkata; pada tahun 2021 sahaja Malaysia telah mencatatkan transaksi berjumlah RM279 bilion dalam arena e-dagang dan ia dijangka akan terus berkembang pesat, sekali gus memperlihat TikTok di dalam arena yang tepat untuk membantu usahawan dan juga memudahkan pengguna.

Tidak dapat dinafikan, TikTok Shop telah menjadi fenomena dalam industri perdagangan digital. 

Walaupun muncul dengan kontroversi namun ia telah memberikan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) untuk membangunkan perniagaan dalam talian ke satu tahap yang lebih tinggi.



Akses Yang Luas : 

Ciri utama TikTok iaitu sokongan visual yang terkini dan menarik, penyebaran maklumat yang pantas, dan akses kepada komuniti yang besar merupakan pembuka jalan untuk golongan usahawan PKS meneroka pasaran digital yang lebih luas dan membolehkan mereka mengikuti trend perdagangan dalam talian yang sedang berkembang.

Melalui data terkini yang dihimpunkan oleh Statista, sehingga penghujung Januari 2023, Amerika Syarikat dan Indonesia mencatatkan jumlah pengguna TikTok tertinggi di dunia iaitu masing-masing mencatatkan 113 dan 109 juta pengguna, manakala Malaysia mempunyai seramai 19.3 juta pengguna aktif pada platform TikTok.  

Ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara 20 negara dengan angka pengguna TikTok yang tinggi di dunia. 

Justeru, pelancaran TikTok Shop membolehkan PKS menjangkau sasaran pelanggan yang lebih besar termasuk pelanggan baharu yang sebelum ini mungkin tidak dapat mereka capai yang pada masa sama memberikan peluang penjualan yang lebih besar.

Pada masa sama, penggunaan TikTok Shop juga membantu mengurangkan kos operasi usahawan yang mana platform tersebut membolehkan usahawan untuk memulakan perniagaan dalam talian dengan kos yang rendah. 

Dalam erti kata lain, mereka tidak perlu melabur dalam kedai fizikal atau perbelanjaan perniagaan yang tinggi.

Selain itu, elemen penggunaan video dan konten menarik dalam TikTok juga dapat membantu usahawan meningkatkan visibiliti dan reputasi masing-masing sekali gus membantu pertumbuhan jangka panjang usahawan tersebut. 

Dalam konteks ini, kejayaan Khairul Aming – usahawan yang bermula sebagai pempengaruh media sosial seharusnya dijadikan suri teladan untuk para usahawan dan pempengaruh lainnya untuk terus kekal relevan dalam pasaran. 

Kemunculan e-dagang dalam platform media sosial juga telah mengubah landskap strategi pemasaran daripada kaedah yang konvensional kepada kaedah pemasaran yang lebih kreatif dan menarik, terutama menerusi video. 

Ia telah mencipta pelbagai kesan di seluruh dunia, menjadikannya fenomena dalam perdagangan dalam talian. 


TikTok Indonesia ditutup. - Kredit foto: Kosmo Digital


Cabaran dan Ancaman TikTok Shop :

Meskipun populariti TikTok Shop sedang meningkat naik, namun platform media sosial ini telah menghadapi pelbagai isu berkaitan keselamatan produk, penipuan, dan pematuhan terhadap undang-undang kerajaan. Beberapa negara termasuk Indonesia telah bertindak untuk mengatasi isu ini melalui peraturan yang lebih ketat.

Isu utama yang menjadi perhatian utama di Indonesia ialah berkaitan keselamatan produk. Terdapat laporan tentang produk palsu, tiruan, dan tidak selamat yang dijual di TikTok Shop. 

Selain itu, isu pajakan juga turut menyebabkan platform tersebut ditutup selepas beberapa penjual dilaporkan tidak mematuhi peraturan cukai dan pajakan, yang merugikan kerajaan Indonesia.

Disebabkan isu yang ditimbulkan oleh usahawan sendiri, penutupan tersebut memberikan kesan besar terhadap usahawan lainnya apabila usahawan yang bergantung kepada TikTok Shop kini kehilangan akses kepada pasaran digital yang luas dan seterusnya mengurangkan pendapatan mereka.

Atas sebab yang sama juga, para usahawan ini perlu mengubah model perniagaan masing-masing dengan mencari platform lain termasuk mengeluarkan modal baharu untuk meneroka perniagaan dalam talian demi kelansungan perniagaan.

Harus diingat, TikTok Shop memberikan peluang besar kepada PKS untuk memperluas perniagaan mereka dalam talian, tetapi penutupan platform ini di Indonesia adalah tanda bahawa pelbagai isu berkaitan keselamatan dan pematuhan perlu diselesaikan. 

Tidak mustahil, situasi yang berlaku di Indonesia boleh berlaku di negara kita juga sementelah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengambil langkah proaktif dengan mengatur pertemuan bersama pengendali TikTok bagi membincangkan beberapa isu berkaitan platform media sosial tersebut di Malaysia.



Adalah sesuatu yang penting bagi PKS dan pihak berkuasa bekerjasama untuk memastikan para usahawan sentiasa mengamalkan etika dalam berurus niaga selain memastikan perniagaan dalam talian adalah selamat, telus, dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Semua pihak seharusnya sedar bahawa pematuhan kepada etika perniagaan tidak hanya penting untuk memenuhi peraturan undang-undang semata-mata sebaliknya ia adalah elemen utama untuk membina reputasi yang baik, menjana kepercayaan pelanggan, dan menyumbang kepada jangka panjang kejayaan perniagaan. 

Sebenarnya, bukan platform yang menentukan jangka hayat sesebuah perniagaan tetapi etika dan kejujuran dalam berniaga adalah asas kepada perniagaan yang berjaya dan bertahan. 


Suhana Abdul Mutalib ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


12
11
0
10
0

Copy Link: