Program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) menunjukkan hasil positif melalui lonjakan hasil jualan sebanyak RM2.6 juta dan 192 pekerjaan baharu berjaya dicipta dalam jangka masa 4 bulan ia dilaksanakan melalui 4 industri yang telah tamat. 

Industri tersebut adalah 2 kohort: Kafe & Restoran, Bakeri; serta Pencetakan dan Servis Berkaitan. Manakala Program Insken Start-Up Coaching mencatat 164% peningkatan skor diagnostik dalam masa 6 bulan program ini dijalankan. 

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hasil pencapaian keseluruhan Program IBBC ini mencatatkan 3.8 kali nilai gandaan daripada peruntukan dana yang telah diberikan oleh kerajaan. 

Tambahnya lagi, program IBBC juga berjaya memajukan 12 perniagaan melalui penukaran status perniagaan dari mikro kepada kecil. 

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, Insken menjalankan program mengikut keperluan usahawan dan memastikan keberhasilan sesebuah kursus adalah menjadi keutamaan. 

Melalui program bimbingan seumpama ini, Insken dapat mengukur pencapaian usahawan dan bukan sekadar menjalankan program seperti melepaskan batok di tangga. 

Kejayaan usahawan juga telah memberi suntikan semangat kepada kami untuk kekal agresif dalam melaksanakan program latihan dan bimbingan agar lebih ramai usahawan dapat memajukan perniagaan mereka. 



Pencapaian program Insken Start-Up Coaching diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan daripada 24 peserta yang bergraduasi pada 22 Ogos 2023, Ariati Basir diumumkan sebagai peserta terbaik. 

Beliau yang menjalankan perniagaan Roti Loaf berjaya mencatat 243% peningkatan skor diagnostik selepas 6 bulan mengikuti program ini. Penambahbaikan perniagaan yang dibuat adalah seperti penetapan harga produk yang bersesuaian, melaksanakan sistem simpan dan rekod setiap perbelanjaan, mengira untung rugi kos produk bagi setiap bulan dan banyak lagi. 

Beberapa peserta dari program IBBC telah diumumkan sebagai peserta terbaik dan antaranya adalah Saharuddin Sabtu dari industri bakeri. 

Ketika mengikuti program bimbingan ini, beliau telah membuat perancangan kalendar promosi, mengira semula kos produk dengan tepat serta menentukan harga jualan yang sekali gus menghasilkan peningkatan jualan sebanyak 123%. 

Manakala 68% peningkatan hasil jualan berjaya dicipta oleh Nor Hasnaa’ Kamilah Mohd Dalim yang mengikuti Program IBBC Pencetakan dan Servis Berkaitan. 

Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan ketika mengikuti program ini adalah apabila beliau membuat pengurusan serta menggunakan data pelanggan dan berjaya mengenal pasti Unique Selling Points (USP) bagi servis yang ditawarkan. 

Kesemua 135 usahawan telah diraikan melalui Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 22 Ogos 2023 di Bangi, Selangor. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
16
0
8
0

Copy Link: