Tahniah Kopetro! Umum prestasi kewangan memberangsangkan! Rekod jumlah pendapatan RM291j! Naik 54%!
Published byKoperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) mengumumkan prestasi kewangan yang sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM291 juta, peningkatan sebanyak 54 peratus berbanding 2021, yang berjumlah sebanyak RM189 juta.
Lebih membanggakan lagi, Kopetro turut mencatatkan lonjakan prestasi kewangan yang cemerlang dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 220 peratus kepada RM5.5 juta berbanding tahun 2021, sejajar dengan kenaikan permintaan produk runcit, makanan dan minuman serta pelancongan akibat pemulihan ekonomi global.
Prestasi kewangan tersebut telah diumumkan di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kopetro yang diadakan buat kali yang ke-40, pada 24 Jun 2023 yang lalu di hotel The Everly Putrajaya.
Seramai 15 ahli lembaga koperasi dan 69 perwakilan yang datang dari seluruh negara telah berhimpun seawal 8 pagi bagi menyaksikan majlis perasmian mesyuarat tahunan tersebut.
Turut hadir sebagai pemerhati di mesyuarat tersebut adalah wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi Kopetro, Roslan Abdul Rahim, menekankan kepentingan hubungan erat antara perwakilan, Lembaga dan pihak pengurusan koperasi demi memastikan pendapat dan maklum balas mereka diambil kira dalam usaha mengembangkan perniagaan Kopetro ke tahap yang lebih cemerlang.
Roslan turut memaklumkan kepada para perwakilan yang hadir, sejajar dengan kecemerlangan Kopetro pada tahun 2022, antara langkah yang diambil bagi meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan Kopetro bagi tahun yang mendatang, adalah dengan membina kerjasama strategik dengan koperasi asas, Federasi Koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKM), Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), selain kolaborasi dengan pemain-pemain industri.
“Saya yakin, kerjasama strategik akan membawa pelbagai kebaikan dan membuka peluang baharu kepada Kopetro dan rakan niaga kami.
"Dengan sinergi dan kebolehan yang ada, kami berharap dapat mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang perniagaan dan memberikan pulangan yang optimum kepada anggota koperasi,” ujar Roslan.
Uniknya pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-40 adalah majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat Kopetro iaitu Kopetro Trading Sdn. Bhd. dengan tiga rakan niaga strategik iaitu Gading Kencana Sdn. Bhd., Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. dan CarSome Sdn. Bhd.
Roslan turut menzahirkan rasa penghargaan terhadap para perwakilan dan anggota-anggotanya yang merupakan nadi penting dalam melestarikan koperasi tersebut sehingga berjaya mencecah tahun yang ke-43 penubuhannya.
Jelasnya lagi, Kopetro akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan anggota melalui pelbagai manfaat, bantuan, dan produk pembiayaan yang diharap mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Kopetro sebagai entiti perniagaan yang berdaya saing dan memberikan manfaat jangka panjang kepada anggota koperasi.
Ditubuhkan pada 30 Oktober 1980, Kopetro dianggotai lebih 15,000 kakitangan Petronas dan anak-anak syarikatnya, telah diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media