Lebarkan aktiviti Ar-Rahnu! Koop Sahabat buka Sahabat Ar-Rahnu ke-34 di Tawau! Lancar Cabutan Wow!
Published byAhmad Norihan Jalal (tengah) menyempurnakan perasmian cawangan baharu Koop Sahabat dan Program Sahabat Ar-Rahnu Tawau & Kolobrasi Rakan Strategik Koop Sahabat, di Tawau pada 24 Februari 2025.
Ar-Rahnu merupakan satu bentuk perkhidmatan kewangan Islam yang unik dan telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Malaysia.
Pengerusi Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), Mohd Najib Mohd Noor berkata, Koop Sahabat merupakan antara koperasi yang produktif dalam melebarkan aktiviti Ar-Rahnu, dalam tempoh 13 tahun penubuhannya.
“Sahabat Ar-Rahnu ditubuhkan oleh Koop Sahabat bukan hanya dari sudut aktiviti perniagaan semata-mata, tetapi ia mempunyai objektif yang lebih besar iaitu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat daripada belenggu riba serta memecah monopoli pajak gadai konvensional.
“Aktiviti Sahabat Ar-Rahnu telah menyumbang sebanyak 30% kepada keuntungan koperasi pada tahun 2024, serta menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 25% jumlah marhun sebanyak RM461 juta dan pengeluaran pembiayaan adalah melebihi RM346 juta berbanding tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sahabat Ar-Rahnu Koop Sahabat Cawangan ke-34 di Tawau yang juga merupakan cawangan pertama di negeri Sabah.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood.
Dari kiri: Mohd Najib Mohd Norr, Ahmad Norihan, dan Bendahari Koop Sahabat, Norsharizal Mashahrin.
Pada majlis sama, Koop Sahabat turut melancarkan kempen Cabutan Wow! Sahabat Ar-Rahnu 2025.
Mohd Najib berkata, kempen yang bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2025 akan menawarkan hadiah berjumlah RM50,000 dengan hadiah utama berupa motosikal serta barangan elektrik serta simpanan akaun emas digital.
“Cabutan pemenang akan dibuat pada setiap suku tahun berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” tambahnya.
Selain itu katanya, Koop Sahabat juga menjalinkan kolaborasi bersama Global Elit Sdn. Bhd. untuk sinergi projek e-Commerce Hub (Hab e-Dagang) pertama di Malaysia dikenali sebagai Sahabat Elite Star.
“Program ini dirangka bagi memberi nilai tambah kepada anggota dalam memberi pendedahan dan latihan terkait penjenamaan produk dan pemasaran dalam talian melalui platform TikTok,” ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media