CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengukuhkan matlamatnya dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat dengan inisiatif menerusi Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung di empat Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang, iaitu Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam. 

Di bawah Program Santuni Madani ini, CIMB telah memperuntuk RM3.6 juta selama dua tahun, bagi memacu impak jangka panjang dan positif untuk kira-kira 9,000 penghuni PPR, dengan mengukuhkan pembinaan kapasiti, menawarkan peluang peningkatan kemahiran, menyediakan akses pendidikan berkualiti, serta memupuk kehidupan yang mampan. 

Santuni Madani merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan pemimpin dari pelbagai Kementerian Persekutuan, Agensi, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan. 

Pelancaran Program berkenaan dijalankan di PPR Pinggiran Bukit Jalil 2 dan disempurnakan oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; serta dihadiri Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi, CIMB Group; Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group; Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Malaysia serta CIMB Bank Berhad; dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank Berhad. 


Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kanan), Novan Amirudin (tiga dari kanan), Amir Hamzah Azizan (tengah), TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif (lima dari kiri), Mohd Nasir Ahmad (empat dari kiri) dan Gurdip Singh Sidhu (dua dari kiri) bersama wakil penduduk dari empat PPR terlibat di majlis pelancaran Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung CIMB. 


Amir Hamzah berkata, “Kerajaan komited dalam memastikan tiada insan yang ketinggalan dalam usaha kami ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan lestari. 

"Program yang diterajui CIMB menunjukkan betapa pentingnya peranan sektor swasta dalam memperkasa golongan rentan dan menggerakkan perubahan bermakna melalui inisiatif Santuni Madani. 

"Usahanya untuk mengetengahkan keperluan semua lapisan umur dengan menyediakan sokongan menyeluruh khusus adalah dihargai dan sejajar dengan matlamat kerajaan dalam membina masyarakat berdaya saing dan progresif dengan mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan.” 

Novan pula berkata, “Selaku syarikat yang digerakkan oleh tujuan, CIMB komited untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan kami berbesar hati untuk mengembangkan usaha-usaha kewangan sosial untuk mencapai lebih banyak komuniti, membantu mereka membina daya saing, memfokuskan isu-isu ekonomi termasuk kekurangan pekerjaan, akses pendidikan dan literasi kewangan. 

"Menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung ini, kami berhasrat untuk menggalakkan nilai sara diri, mencipta nilai positif jangka panjang, dan memastikan kesamarataan akses terhadap sumber dan peluang bagi individu dan keluarga demi meningkatkan kedudukan ekonomi mereka. 

“Inisiatif-inisiatif kami direka bagi menyediakan kaedah tepat, sumber dan kemahiran diperlukan untuk membina kehidupan yang mampan. 

"Dengan memberi fokus terhadap pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan, kami membantu individu untuk membina masa depan lebih cerah dan lestari. 

"Usaha-usaha ini mencipta kesan berganda yang memacu perubahan bermakna dan transformatif bagi masyarakat setempat,” tambah beliau.  



CIMB, menerusi CIMB Foundation (Yayasan CIMB), cabang tanggungjawab korporat dan kebajikan, serta CIMB Islamic Bank, akan memperkenal beberapa inisiatif di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung tersebut khusus untuk  memperkasa komuniti dalam aspek pendidikan dan ekonomi.

Program berkenaan akan menangani pelbagai segmen kurang berkemampuan daripada PPR terbabit termasuk meningkatkan keupayaan pendidikan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, peluang untuk pelajar universiti berprestasi tinggi, latihan perguruan serta program pemerkasaan ekonomi yang menumpukan penjanaan pendapatan untuk ibu-ibu tunggal, serta usahawan mikro dan komuniti asnaf secara keseluruhan.  

Bagi membantu peserta untuk menjana pendapatan, CIMB akan menawarkan Program  Keusahawanan oleh CIMB Islamic, yang menyediakan latihan dan sumber kepada peniaga  baharu; Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur, yang menyokong pekerja ekonomi  ‘gig’ menerusi peluang keusahawanan; MicroBizReady yang diterajui CIMB Foundation, menyediakan perusahaan kecil dengan kemudahan dan latihan untuk meningkatkan kesediaan perniagaan; dan latihan menambah kemahiran yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran jahitan bagi meningkatkan potensi menjana pendapatan. 

Dalam bidang pendidikan pula, CIMB menerusi CIMB Foundation bermatlamat untuk menambah baik literasi dan numerasi dengan meningkatkan kadar pelajar tamat persekolahan dan memberi penekanan terhadap keciciran pembelajaran – selari dengan inisiatif Program Gear-uP untuk  Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang didorong oleh Kementerian Kewangan, dengan menawarkan kelas tambahan percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 agar mereka menerima pendidikan berkualiti, meningkatkan ekuiti dan peluang yang lebih baik untuk masa depan.  

Manakala, CIMB juga akan terus membantu mengatasi isu keperluan asas menerusi inisiatif seperti Program Bakul Makanan, pengagihan barangan keperluan makanan kepada isi rumah kurang berkemampuan serta Program Kembali ke Sekolah yang menyediakan pelajar dengan barangan keperluan sekolah dan pakaian seragam demi menyokong perjalanan akademik mereka.  

Selaras dengan gerakan “Kita Bagi Jadi”, CIMB mengadakan hari komuniti bersama penduduk PPR, memberikan mereka peluang untuk berhubung dengan rakan kongsi Program dan  penerima manfaat terdahulu. 

Ahli komuniti juga menerima bantuan langsung, termasuk pek makanan dan pakaian seragam sekolah untuk tahun akademik baharu. 

CIMB tetap berdedikasi terhadap peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan akan terus menyokong komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan golongan memerlukan melalui pelbagai program dan inisiatif di seluruh Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
8
0
12
0

Copy Link: