Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengadakan Majlis Peluncuran Jom Jelajah Koperasi (Jejak) 2024-2025 di Homestay Banghuris Sepang, Selangor pada 16 Mei 2024. 

Program ini telah disempurnakan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Program Jejak merupakan inisiatif SKM untuk merangsang aktiviti perniagaan koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf. 

Program ini akan membantu meningkatkan keupayaan koperasi melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk/perkhidmatan bagi merancakkan semula perkembangan industri tersebut yang masih terkesan akibat daripada penularan pandemik Covid-19. 

Justeru, koperasi-koperasi yang terlibat bakal menerima insentif agar mereka dapat beroperasi pada tahap optimum dan sebagai persediaan kepada koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024 dengan sasaran pelancong sebanyak 26.1 juta orang.



Insentif ini bertujuan memastikan koperasi yang terlibat dalam industri pelancongan dapat bersaing dengan pemain industri pelancongan yang lain bagi meningkatkan pendapatan koperasi dan secara tidak langsung dapat manfaat kepada anggota koperasi. 

Sebanyak RM2 juta telah diperuntuk oleh SKM pada tahun ini (2024) dengan menyasarkan penglibatan 160 koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan di bawah industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf. 

Koperasi-koperasi ini layak menerima insentif Jejak yang disediakan oleh SKM dengan tujuan untuk pemberian diskaun atas pakej atau produk perniagaan yang disediakan sehingga 30%.

Melalui insentif ini juga, SKM menyasarkan seramai 20,000 orang pelancong terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong dari luar negara menerima manfaat daripada pakej yang ditawarkan oleh koperasi. 

KUSKOP melalui SKM mengalu-alukan kehadiran semua pelancong untuk bercuti di koperasi menerusi program Jejak dengan menjadikan koperasi sebagai pilihan destinasi pelancongan utama. 

Jualan Madani Koperasi (JMK) turut diadakan semasa peluncuran program tersebut dan KUSKOP melalui SKM memperuntuk insentif harga sebanyak RM34,000. 

SKM telah melantik Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad sebagai operator jualan yang akan menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan harian asas seperti gula, tepung, minyak, susu, telur dan pelbagai lagi. 

JMK memberi peluang kepada anggota koperasi serta penduduk sekitar Sungai Pelek, Sepang mendapatkan barangan dengan kadar penjimatan sehingga 20% daripada harga pasaran.



Ewon Benedick juga mengadakan sesi walkabout dan ramah mesra bersama pengunjung yang hadir dan seterusnya mengadakan Jualan Happy Hour dengan menambah sebanyak 10% lagi diskaun menjadikan jumlah penjimatan yang dinikmati oleh pengguna berjumlah 30% selama 1 jam atau sehingga barangan yang dikhususkan untuk happy hour habis dijual. 

Melalui program jualan ini, dianggarkan seramai 1,000 orang pengunjung memperoleh manfaat daripada insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan. 

Sehingga 16 Mei 2024, sebanyak 28 program Jualan Madani Koperasi telah diadakan di 18 kawasan Parlimen dan telah memberi manfaat kepada 135,442 pengguna dengan penjimatan sebanyak RM778,212. 

Program ini juga telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM3,117,405 melalui 95 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan. 

Hadir sama Datuk Rizam Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi, Perpaduan Nasional, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri Selangor; Dato’ Seri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP; Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP; Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, Pengerusi SKM; dan Rusli Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif SKM. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
10
0
12
0

Copy Link: