Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi (Advance Driver Development Programme) Volvo Trucks baru-baru ini mentauliahkan sekumpulan 20 graduan pertama daripada Maktab Teknik PDRM Bakri. 

Program ini memberi tumpuan untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan dan keselamatan memandu merupakan inisiatif bersama antara Volvo Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Trucks Malaysia) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). 

"Di Volvo Trucks, aspek keselamatan menjadi nadi penggerak kepada segala yang kami lakukan. Kami berusaha mencapai kecemerlangan dari setiap sudut operasi, iaitu daripada reka bentuk dan pengeluaran kenderaan mahupun Latihan dan Pembangunan pemandu kami,” kata Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Anthony O’Connell, pada majlis graduasi Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi Volvo Trucks yang pertama.

“Saya mengucapkan tahniah kepada para jurulatih daripada Maktab Teknik PDRM Bakri yang telah berjaya menamatkan program yang rapi dan menyeluruh ini. Kerjasama adalah bentuk kepimpinan yang baru. 

"Daripada kejayaan kerjasama bersama MIROS, kami telah menyediakan satu platform yang bukan sahaja mengasah kemahiran penting, malah menekankan komitmen bersama kepada tahap piawaian keselamatan, kelestarian dan kualiti tertinggi – yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai teras Volvo,” ujar O’Connell.



Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi merangkumi kandungan kursus dengan matlamat meningkatkan keupayaan pemandu sedia ada. 

Bagi 20 peserta kumpulan pertama ini yang terdiri daripada jurulatih dari Maktab Teknik PDRM Bakri di Muar, Johor, Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi Volvo Trucks telah disusun khas sebagai sebuah kursus Melatih Jurulatih (Train-The-Trainer). 

Sebagai jenama terkemuka yang menerajui inovasi keselamatan, Volvo Trucks telah merangka program dengan teliti untuk meliputi dua modul penting, iaitu Kursus Kemahiran Pemanduan dan Pengendalian Trak serta Kursus Kemahiran Pengendalian Trak Taktikal dan Lanjutan. 

Modul-modul dirangka untuk meningkatkan kemahiran teknikal pelatih dan mengukuhkan lagi kefahaman mereka tentang teknik pemanduan, dinamik kenderaan dan pergerakan taktikal yang penting untuk tugas khas. 

Para peserta telah dibimbing dalam modul-modul praktikal dan teori oleh seorang jurulatih Volvo Trucks berwibawa yang mempunyai pentauliahan daripada HRD Corp dengan pengalaman selama lebih daripada dua dekad. Latihan amali ini telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 bertujuan untuk mengurangkan 50% kadar kematian akibat nahas jalan raya pada akhir 2030 berbanding 2019. 

"MIROS yakin dengan penyertaan organisasi antarabangsa seperti Volvo Trucks dan Litar Antarabangsa Sepang untuk menganjurkan program latihan sedemikian merupakan titik permulaan penting bagi membina kapasiti untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. 

"Latihan berterusan dan pembangunan profesional perlu diutamakan. Dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran menerusi kursus yang relevan, kami boleh memastikan bahawa keselamatan jalan raya di Malaysia berada pada tahap tertinggi," kata Ketua Pengarah MIROS, Profesor Madya Ts Dr Siti Zaharah Ishak. 



“Sokongan logistik adalah sebahagian penting daripada tugas kami untuk menentang jenayah. 

"Program ini merupakan usaha sama penting untuk memastikan para pegawai kami dilengkapi dengan keupayaan untuk cemerlang dalam menunaikan tanggungjawab profesional masing-masing. Kami berharap untuk menjalin lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa hadapan,” kata Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Zam Halim Jamaluddin, dalam ucapannya pada majlis graduasi. 

Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi Volvo Trucks merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif yang dibangunkan di bawah Memorandum Kerjasama (MoC) antara Volvo Trucks dan MIROS yang ditandatangani pada Ogos 2023. 

Matlamatnya adalah untuk mendorong inisiatif keselamatan jalan raya bagi mengurangkan bilangan kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa di jalan raya di Malaysia. 

Program ini terdiri daripada dua modul, iaitu Pengenalan Trak dan Pembangunan Pemandu Berprestasi Tinggi. 

Program Pembangunan Pemandu Berprestasi Tinggi menyediakan empat pilihan pembelajaran: program pemandu asas, program pemandu tahap pertengahan, Melatih Jurulatih (TTT) dan program yang disesuaikan mengikut keperluan. 

Peranan MIROS dalam kerjasama ini adalah untuk memberikan garis panduan bagi pelaksanaan latihan keselamatan jalan raya yang berkesan dan memberikan cadangan dan bahan-bahan untuk menambah baik program latihan. 

Program Pembangunan Pemanduan Berprestasi Tinggi Volvo Trucks terbuka kepada semua pengendali kenderaan komersial untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan dan keselamatan memandu masing-masing. 

Organisasi yang beroperasi dengan jumlah kenderaan yang banyak (fleet) digalakkan untuk mendaftar kerana kos bagi program ini layak dituntut di bawah HRD Corp. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
13
0
16
0

Copy Link: