Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperkukuh komitmennya dalam usaha menyokong agenda nasional Penghijauan Malaysia menerusi pelaksanaan program CSR Coopcare Penghijauan Malaysia dan Pencahayaan Canopy Walk sempena Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 dan Sihat di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (S@TER) Siri 1. 

Program tanggungjawab sosial koperasi (CSR) CoopCare dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan itu adalah salah satu inisiatif sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 serta kepengerusian ASEAN 2025. 

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) dan Dekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030, program ini bertujuan untuk memelihara kelestarian alam sekitar sambil memperkukuh daya tarikan Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) sebagai destinasi utama ekopelancongan negara. 

Katanya, pemasangan pencahayaan di Canopy Walk TERKL adalah langkah strategik untuk mempromosikan Canopy Night Walk, yang memberikan pengalaman unik kepada pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna tropika pada waktu malam. 



“Langkah ini juga adalah simbol usaha bersepadu kita untuk menjadikan TERKL sebagai destinasi pilihan, bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa, terutamanya sempena kepengerusian ASEAN 2025 serta sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025. 

“Keupayaan gerakan koperasi global terus terserlah menerusi peranan yang dimainkan oleh tiga (3) juta koperasi di seluruh dunia yang mempunyai keanggotaan sekurang-kurangnya 12% daripada populasi global dan menyediakan 10% peluang pekerjaan dunia. 

"Tema IYC2025 iaitu ‘Cooperatives Build a Better World’ atau ‘Koperasi Membina Sejagat Lebih Sejahtera’ melambangkan peranan dan sumbangan sektor koperasi sebagai model ekonomi dan sosial yang saksama, sejahtera dan penuh ihsan dengan semangat kebersamaan seiring dengan aspirasi yang dibawa oleh kerajaan Madani. 

"Angkasa, sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang menaungi 16,009 buah koperasi dengan 7.2 juta keanggotaan di seluruh Malaysia memiliki kapasiti untuk mendorong kelangsungan pembangunan, ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui inisiatif kolektif,” kata Abdul Fattah dalam ucapannya pada pelancaran program  CSR Coopcare Penghijauan Malaysia dan Pencahayaan Canopy Walk TERKL pada 26 Januari 2025. 



Angkasa telah melaksanakan 36 buah program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sejak tahun 2021, yang melibatkan penanaman hampir 6,000 batang pokok dan lebih 10,000 peserta. 

Usaha Penghijauan Malaysia anjuran Angkasa meliputi aktiviti penanaman pokok, kesukarelawanan, program pendidikan dan penyelidikan seperti Kajian Kesedaran Anggota Koperasi Sekolah Terhadap Kepentingan Hutan Dan Perubahan Iklim yang melibatkan anggota koperasi sekolah di seluruh negara. 

Angkasa turut merangka pelbagai program untuk meraikan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) antaranya ASEAN Cooperative Dialogue 2025, Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Kebangsaan Sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA), Coop Treasure Hunt 2025, Bulan Koperasi Kebangsaan, Hari Koperasi Negara dan Seminar Youth for Cooperative Futures. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
12
0
15
0

Copy Link: