Sekumpulan penternak dan penjual susu lembu segar melakukan tindakan protes yang menggemparkan masyarakat di Boyolali, Jawa Tengah pada Sabtu, 9 November 2024.

Setelah berarak diiringi beberapa kenderaan, sebuah lori pikap yang membawa beberapa tong berisi susu dan kemudian berhenti di Tugu Susu Tumpah, Boyolali iaitu sebuah tempat yang sibuk dengan kenderaan dan orang ramai lalu lalang. 

Lalu para peternak dan penjual susu segar itu yang kebanyakannya golongan muda secara bergilir-gilir memandikan diri mereka dengan susu lembu itu. 




Mereka kemudian memberikan susu lembu percuma sebanyak 1,000 liter kepada orang ramai.

Lebih mengejutkan mereka turut membuang kira-kira 10,000 liter susu lembu di tempat pembuangan sampah.

Menurut ketua kumpulan merupakan pegawai di PT Nawasena Satya Perkasa (NSP), Bayu Aji Handayanto, pihaknya membuang kira-kira 160 tan susu lembu sebagai tindakan protes kepada pihak atasan yang mengehadkan jumlah pembelian susu daripada penternak dan penjual susu segar tempatan ke kilang-kilang yang menjadi Industri Pengolahan (Pemprosesan) Susu (IPS) dari jumlah kebiasaannya iaitu 70 tan kepada hanya 40 tan.



Namun pada masa yang sama, pihak kerajaan membenarkan import susu segar dari luar negara. Ini menyebabkan jumlah susu yang tidak terjual semakin meningkat setiap hari.

Tambahnya, penternak dan penjual susu di Boyolali berharap kerajaan dan industri pengolahan mengutamakan keluaran susu tempatan untuk memenuhi keperluan susu dalam negeri.



Protes para penternak dan penjual susu lembu segar juga berlaku di beberapa tempat di Jawa Tengah.

Sebagai contoh di Pasuruan, terdapat sejumlah penternak dan penjual susu lembu segar membuang bahan protein tersebut ke parit dan sungai. Protes semakin merebak ke beberapa daerah lain di Jawa Tengah dan Jawa Barat. 

Tindakan mandi susu lembu itu tular setelah dimuatnaikkan dalam Instagram @infoboyolali dan kemudian dipetik oleh sejumlah media sosial, media cetak dan media elektronik di Indonesia.



Ramai netizen yang memuji tindakan sekumpulan para peternak dan penjual susu itu yang melakukan tindakan protes agar dapat membuka mata pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka. 

Bagaimanapun, ada juga netizen yang berpandangan, tidak wajar susu segar itu dibazir begitu sahaja. Lebih baik dijual pada harga murah atau diberi secara percuma kepada orang ramai. - KitaReporters


15
6
0
11
0

Copy Link: