Pendakian lebih selamat, selesa! Yayasan Mr DIY pasang 9 papan tanda pemeriksaan laluan Bukit Kutu!
Published bySukarelawan Yayasan Mr DIY membersihkan laluan pendakian Bukit Kutu
Pendaki di laluan popular Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu, Selangor kini menikmati pengalaman pendakian yang lebih selamat dan selesa, hasil usaha Yayasan Mr DIY.
Yayasan tersebut, pada 21 Oktober 2024 lalu, telah bekerjasama dengan pasukan dari Jabatan Perhutanan, Malim Gunung Perhutanan Selangor, serta 30 orang sukarelawan, untuk memasang sembilan papan tanda di sepanjang titik pemeriksaan laluan pendakian Bukit Kutu, dan membersihkan laluan tersebut bagi memastikan ia kekal selamat untuk para pendaki.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mr DIY, Zaleha Mohd Mydin semasa menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua peserta kerana telah menjayakan usaha tersebut berkata, “Keutamaan kami sebagai cabang amal peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan Mr DIY, adalah untuk memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia; menjadi jiran yang baik.
"Salah satu cara kami melakukannya ialah dengan memastikan lokasi rekreasi yang popular dijaga dengan baik supaya lebih ramai orang dapat menikmatinya.”
Salah satu papan tanda baharu yang dipasang.
Beliau menambah, “Bukit Kutu adalah laluan pendakian yang terkenal dan wajib dikunjungi pendaki di Malaysia.
"Usaha hari ini yang merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Jiran Sejati, Sentiasa Di Sisi’ Mr DIY yang berterusan, bertujuan menyediakan persekitaran yang selamat, bersih dan mempunyai penunjuk arah yang baik untuk pendaki di Bukit Kutu.
"Kami berharap ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan membentuk Malaysia yang lebih sihat.”
Zaleha turut berterima kasih kepada Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan Selangor kerana telah membimbing sukarelawan Yayasan tersebut sepanjang program ini.
Yayasan Mr DIY telah ditubuhkan pada Jun 2023 untuk menguruskan aktiviti impak komuniti oleh Kumpulan MR D.I.Y, yang merangkumi program-program pemeliharaan alam sekitar, kesihatan dan kesejahteraan, pembangunan kapasiti, serta mempromosikan kekayaan seni dan budaya di Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media
Sukarelawan Yayasan MR DIY bersama papan tanda baharu yang dipasang di laluan pendakian Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu, Selangor.