Berita baik bagi mereka yang mencari skim perlindungan kesihatan yang mampu bayar. 

Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) akan memperkenal Rider Perubatan yang dikenali sebagai Medik Asas yang buat pertama kalinya menjadikan perlindungan kesihatan asas boleh diakses semua, mampu milik dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, Medik Asas ini menyediakan perlindungan mampu milik buat mereka yang memerlukan khususnya kepada golongan keluarga berpendapatan rendah pada harga serendah RM52 sebulan.

Menurutnya, ia sebagai sokongan kepada komitmen kelestarian sosial PruBSN yang berterusan untuk menjadikan penjagaan kesihatan dan perlindungan kewangan yang boleh diakses oleh semua.

Beliau berkata, bukan sekadar produk takaful yang biasa sebaliknya Medik Asas ini adalah penyelesaian yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan segera bagi mereka yang tidak mempunyai jaminan kewangan jika berlaku kecemasan.


Wan Saifulrizal Wan Ismail


"Kami menawarkan rider perubatan baharu ini dengan polisi mampu milik serendah RM52 sebulan untuk menangani kebimbangan mengenai kos perubatan yang semakin meningkat dan memastikan lebih banyak keluarga mempunyai akses kepada pelan takaful yang mampu milik.

"Inisiatif ini amat penting kerana sebahagian rakyat Malaysia kira-kira 12.9 peratus dilaporkan tidak mendapatkan rawatan perubatan akibat kekangan kewangan.

"Sehubungan itu, kami menyediakan pilihan yang lebih mampu milik serta fleksibel, dan kami berhasrat untuk mengurangkan bebanan kewangan ini dan meningkatkan taraf kesihatan yang lebih baik untuk semua keluarga," ujarnya.

Wan Saifulrizal berkata, visi PruBSN melalui Medik Asas melangkaui sekadar menawarkan produk.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada misi yang lebih besar iaitu untuk mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih inklusif, mengatasi masalah kewangan yang sering menjadi halangan bagi orang ramai daripada mendapatkan rawatan yang mereka perlukan.

Medik Asas menyediakan perlindungan perubatan asas merangkumi penjagaan rawatan pesakit dalam sehingga pesakit luar, penyakit-penyakit utama, dan juga lanjutan manfaat penjagaan sehingga RM100,000 setahun dan perlindungan tanpa had seumur hidup.

Dalam erti kata lain, anda akan sentiasa dilindungi selagi anda memerlukannya. 

Medik Asas juga memudahkan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam melalui kemudahan tanpa tunai di hospital kerajaan Malaysia dan panel hospital swasta terpilih. 

Mengulas lanjut Wan Saifulrizal berkata, manfaat itu juga membolehkan individu dan keluarga memberi tumpuan kepada pemulihan, mewujudkan perjalanan penjagaan kesihatan yang lebih lancar.

"Antara ciri lain yang menarik adalah Medik Asas memenuhi keperluan khusus rakyat Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan dengan menawarkan manfaat tambahan bagi mereka yang dirawat di hospital kerajaan.

"Kini, mereka boleh menikmati manfaat istimewa seperti elaun harian dan penjagaan tambahan untuk warga emas, memastikan bahawa golongan yang paling terdedah juga dijaga dengan baik," katanya.

Jelasnya, PruBSN berusaha untuk membina masa depan di mana tiada siapa yang perlu memilih antara penjagaan kesihatan dan perlindungan kewangan.

Katanya, melalui Medik Asas, PruBSN berharap dapat meringankan beban komuniti yang kurang bernasib baik, memastikan bahawa semua orang mempunyai akses kepada perlindungan kesihatan yang mampu milik dan berkesan untuk setiap kehidupan bagi setiap masa depan. - KitaReporters

10
9
0
15
0

Copy Link: