Maybank Islamic Berhad terus komited dalam menerajui program impak sosialnya dengan menyalurkan dana sebanyak lebih RM1.7 juta melalui Program Regional Ramadan Relief (Ramadan Relief Serantau) untuk memberi bantuan kepada lebih daripada 6,000 keluarga kurang berkemampuan di 11 buah negara. 

Majlis simbolik penyampaian kotak makanan pada 2 Mac 2024 lalu di Jakarta itu diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman dan Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Taswin Zakaria sambil disaksikan oleh Pengerusi Maybank Islamic, Dato' Zulkiflee Abbas Abdul Hamid kepada 100 wakil daripada 590 keluarga penerima manfaat dari seluruh Indonesia. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) Mohd Shukor Tahir, Lembaga Pengarah Maybank Islamic, dan Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia serta Islamic Relief Indonesia. 



Sejak 2013 dengan jumlah agihan bernilai hampir RM16 juta, program ini telah memanfaatkan lebih 100,000 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan asnaf di Malaysia dan di luar negara. 

Nor Shahrizan berkata, program ini selaras dengan komitmen Maybank Islamic dalam menganjurkan inisiatif impak sosial dan memberi sumbangan kepada kesejahteraan komuniti setempat, sejajar dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di mana cawangan Maybank beroperasi. 

“Maybank Islamic bukan sahaja komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan patuh syariah untuk semua lapisan masyarakat melalui produk dan perkhidmatan, tetapi juga menerusi inisiatif-inisiatif untuk membantu masyarakat di cawangan-cawangan Kumpulan Maybank beroperasi.

"Bulan Ramadan tidak hanya mengajar kita tentang makna empati dan saling melengkapi antara satu sama lain, tetapi juga untuk memahami keadaan masyarakat sekeliling dan memberi bantuan secara inklusif kepada mereka yang memerlukan, termasuk golongan yang terpinggir." katanya lagi. 



“Bagi program kali ini, Jakarta dipilih sebagai majlis simbolik adalah kerana terdapatnya perniagaan Maybank di Indonesia dan kami berhasrat untuk memberikan sumbangan kepada komuniti di tempat kami beroperasi. "Sejak tahun 2017 sehingga 2023, program ini telah memanfaatkanhampir 13,000 keluarga di Indonesia dengan sumbangan sebanyak lebih RM2.4 juta 

"Kami berharap bantuan kecil yang kami berikan ini akan membawa keceriaan kepada penerima manfaat dalam bulan Ramadan yang mulia ini. 

"Bagi kami di Maybank, kami berharap boleh terus membantu penerima manfaat ini bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi bantuan lain yang sesuai untuk impak yang lebih berpanjangan. 

"Ini adalah komitmen berterusan kami untuk sentiasa beradadekatdengan masyarakat," kata Nor Shahrizan. 

Dalam perlaksanaan Program Ramadan Relief Serantau pada kali ini, Maybank Islamic bekerjasama dengan empat rakan kemanusiaan, iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Islamic Relief Malaysia, Mercy Malaysia, dan Yayasan Ikhlas. 

Program ini akan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan bantuan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, komuniti Muslim Rohingya di Cox’s Baza di Bangladesh, dan Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) - di mana Maybank Islamic mempunyai cawangan. 

Bekalan makanan asas yang disumbangkan termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, dan barangan keperluan asas lain sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang tiba. 



Dalam merangka program masyarakat berimpak tinggi, Maybank Islamic tidak hanya komited dalam merangka program sosial dan kewangan sosial Islam, tetapi juga menjadi organisasi yang bertanggungjawab melalui prinsip menyepadukan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selaras dengan prinsip Maqasid Al-Syariah. 

Tahun ini (2024), Maybank Islamic telah memperuntuk hampir RM36 juta untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebahagian daripadanya akan disalurkan untuk masyarakat di Indonesia menerusi beberapa program yang telah dirangkakan. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
12
0
7
0

Copy Link: