Co-opbank Pertama (CBP) menyantuni pelajar-pelajar masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (A) di Dengkil, Selangor menerusi Program Sekolah Ceria Aspirasi Diri (Serasi), baru-baru ini.

Menerusi program tersebut, Anggota Lembaga, Pengurusan Kanan dan juga warga kerja CBP turut serta dalam aktiviti mengecat dan sukaneka bersama guru-guru dan juga pelajar-pelajar di sekolah tersebut.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan ini merupakan satu tanggungjawab sosial korporat CBP kepada masyarakat yang banyak memberi sokongan kepada institusi perbankan itu selama ini.

“Program ini merupakan di bawah inisiatif CB-Pendidik dan juga CB-Proaktif di mana menerusi inisiatif ini, beberapa program yang melibatkan bidang pendidikan dan juga alam sekitar telah dirancang sepanjang tahun 2023.

“Selain itu, sumbangan ini juga dapat membina satu ikatan yang akrab dalam masyarakat dan memupuk sikap saling menyayangi dan selari dengan prinsip CBP Prihatin terhadap Komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini (17 Julai 2023).



Selain itu, sumbangan ini juga dapat membantu dan menggalakkan kehadiran para pelajar ke sekolah dengan keadaan sekolah yang ceria dan bersih. 

Baharom turut berkata, CBP telah menyusun beberapa program CSR di seluruh negara yang melibatkan sektor pendidikan, usahawan, alam sekitar dan masyarakat yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara yang melibatkan semua cawangan CBP.

“CBP mengharapkan agar dengan aktiviti-aktiviti CSR ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan dan secara tidak langsung, sumbangan kecil ini dapat membawa keberkatan kepada perniagaan CBP,” katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
11
0
12
0

Copy Link: