SEBUAH  premis perniagaan yang disyaki dijadikan stor tempat menyimpan pelbagai jenis barangan tiruan di Kampung Air Tawar, Kampung Raja, Besut, Terenggan diserbu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Besut.

Operasi yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Besut itu adalah hasil aduan yang diterima daripada pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN. 


Penguat kuasa KPDN memeriksa sebahagian kasut jenama tiruan yang dirampas di sebuah premis di Besut. - Kredit foto: KPDN 


Saharuddin Mohd Kia


Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil maklumat awal yang diperolehi, premis tersebut mendapat bekalan barangan tiruan daripada pembekal di negeri Kedah sebelum dijual semula kepada pembeli secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial TikTok.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, serbuan telah menemukan sejumlah beg dan kasut jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan2019 (Akta 815). 

Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan. Menurutnya, rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah melebihi RM30,000.

“Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu lelaki, warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik premis,” katanya dalam kenytaan media pada 15 Julai 2024.  

Katanya, lelaki berumur 32 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815. 



Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tiga tahun atau kedua-duanya.


Stor yang dijadikan tempat menyimpan barang-barang tiruan.


Manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau juga berkata, KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia merupakan suatu kesalahan yang serius.

Beliau turut menasihati pengguna agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta mengancam keselamatan pengguna itu sendiri. - KitaReporters


Beg tiruan yang dirampas oleh KPDN Cawangan Besut

13
15
0
11
0

Copy Link: