Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 pada 25 Julai 2023 di Kuala Lumpur 


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada malam ini sempena Anugerah 100 Top CEO 2022 bersama 100 Top Young CEO 2022. 

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Dato’ Mohd Ali Abdul Majis atas kesudian menjemput saya bagi merasmikan majlis pada malam ini. 

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh sekretariat serta warga Ikon Malaysia yang telah bertungkus lumus memastikan majlis berprestij ini berjalan dengan lancar. Syabas dan tahniah saya ucapkan. 

Saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk bersama-sama para penerima anugerah 100 Top CEO 2022 pada malam ini. 



Anugerah 100 Top CEO ini merupakan satu platform yang amat baik untuk memastikan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan terus berkembang maju dan bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa. 

Namun, acuan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi, sama ada syarikat kecil mahupun gergasi itu adalah mustahak dalam menentukan hala tuju syarikat. 

Kebanyakan syarikat yang berjaya mempunyai pemimpin yang bersifat kritis dan kental dalam mendepani cabaran perniagaan kini yang semakin dinamik. 

Pada masa yang sama, para usahawan perlu membina daya tahan untuk mendepani cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global hari ini. Pemimpin harus kuat untuk memastikan organisasi mereka kalis cabaran. 

Kita semua tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang hebat tetapi saya yakin pengalaman pahit manis dalam membangunkan perniagaan itu menjadi titik tolak kepada apa yang anda semua telah capai hari ini. 

Landskap perniagaan selepas pascapandemik COVID-19 sudah mula berubah. Dahulu, perniagaan ‘brick and mortar’ menjadi syarat utama jika mahu mulakan perniagaan kerana kita memerlukan premis untuk menjalankan proses jual beli atau penawaran perkhidmatan. 

Namun, pandemik COVID-19 telah menyaksikan perubahan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan secara dalam talian. 



Dalam dunia kehidupan pascapandemik ini, saya yakin tiada produk atau perkhidmatan yang tidak boleh dibeli dari Internet. 

Berdasarkan Laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara (SEA), jumlah pembeli secara dalam talian di Asia Tenggara dijangka terus meningkat kepada kira-kira 380 juta orang menjelang 2026. 

Arus teknologi dunia semakin berkembang setiap hari. China merupakan pelopor kepada inovasi sains dan teknologi global dan industri perniagaan di sana sudah semakin ke hadapan. 

Sebagai contoh, ketika saya mengadakan lawatan ke Shenzhen, China pada Jun (2023) yang lalu, saya dimaklumkan industri e-hailing di sana sudah menggunakan dron untuk menghantar makanan kepada pembeli. 

Ini merupakan contoh kemajuan teknologi dalam perniagaan yang akan merevolusikan sistem jual beli pada masa akan datang. 

Saya percaya semua penerima anugerah pada malam ini merupakan antara pemain industri tempatan yang banyak menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara serta membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat. 



Ketika saya masih menerajui tampuk pentadbiran Kerajaan, pelbagai pelan dan inisiatif telah dilancarkan untuk membantu industri perusahaan tempatan terus diperkasa. 

Antaranya, pada April tahun lalu (2022), saya telah melancarkan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia. 

Keusahawanan sosial berperanan meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat, terutama mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan Kerajaan.

Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak. Masa untuk kembali menyumbang kepada masyarakat. 

Persekitaran ekonomi dunia pada tahun ini masih mencabar meskipun kebanyakan negara sedang melalui fasa pemulihan dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada dunia perniagaan global dan juga tempatan. 

Namun, saya percaya dengan pengiktirafan yang diberikan pada malam ini mampu menjadi batu loncatan buat kesemua penerima anugerah untuk terus berdaya saing serta menjadi lebih produktif dalam membantu memacu ekonomi negara. 

Saya juga mendoakan agar usahawan kita akan terus berjaya dalam perniagaan yang diusahakan dan terus berbakti kepada ekonomi negara. 


10
16
0
18
0

Copy Link: