Alhamdulillah! KWSP umum kadar dividen yang gemilang! Jumlah agihan tertinggi dalam sejarah! - PM
Published by"Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
"Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar (dividen) yang setara dengan Simpanan Konvensional," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran ke akaun Facebooknya pada hari ini (1 Mac 2025),
KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; dan 6.30% bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion
Menurut Perdana Menteri, prestasi memberangsangkan KWSP ini dipacu oleh kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah-tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
"Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Madani yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani, sekali gus memanfaatkan rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
"Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat," tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media