BERMULA dengan membantu kedua-dua orang tuanya ketika pulang cuti semesta semasa belajar dahulu, kini seorang pemuda mampu mengusahakan sendiri tanaman cili fertigasi sejak tiga tahun lalu.

Muhammad Naja Shafiq Jazlan, 29, dari Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, mula berjinak dengan tanaman itu selepas menyertai beberapa kursus pada 2019 dan 2020. 

"Ketika belajar di universiti dulu, apabila cuti saya pulang ke kampung membantu ayah dan ibu mengusahakan tanaman cili.

"Melihat potensi tanaman cili ini saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan mahu memberi tumpuan sepenuh kepada bidang ini dengan membuka satu lot tanaman," katanya.


Mohd Naja Shafiq bersama tanaman cili yang diushakanya


Shafiq berkata, antara kursus yang pernah disertai ialah Kursus Agroprenuer Muda, Kursus Bokhari De Tani, Asas Fertigasi Cili dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

"Selepas menyertai beberapa kursus, saya menjadi bertambah yakin untuk menjadikan penanaman chili ini sebagai kerjaya tetap saya.

"Saya ke kebun bermula jam 8 pagi dengan melakukan kerja rutin seperti membancuh baja, memeriksa pokok cili supaya ia sentiasa segar," katanya yang lulusan Kejuruteraan Komputer daripada Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Anak kepada pasangan, Mohd Jazlan Mohamed dan Nor Ainun Cik Embong itu adalah anak sulung dari lima beradik.

Muhammad Shafik berkata, beliau yang dibantu oleh dua pekerja itu mengeluarkan modal berjumlah RM20 ribu untuk satu petak tanaman fertigasi.

Katanya, tanaman secara fertigasi itu memerlukan modal yang tinggi memandangkan dia perlu membangunkan teknologi sistem siraman air, baja dan racun.  

"Saya kini ada dua petak tanaman, alhamdulillah hasil yang diperolehi agak lumayan untuk saya meneruskan perniagaan ini," katanya. 


Mohd Naja melakukan rutin harian membubuh baja bagi memastikan tanaman cili yang diusahakannya sentiasa dalam keadaan baik dan subur


Beliau menjual tanamanya itu kepada pemborong, restoran dan kedai makan.

Bagaimanapun Shafiq berkata setiap usaha itu ada masalah tersendiri tetapi tidak menghalang baginya untuk terus aktif dalam bidang itu.

"Antara masalah yang sering saya hadapi ialah cuaca yang tidak menentu, serangan serangga, hasil jualan rendah dan harga baja yang meningkat," katanya.

Fertigasi merupakan perkataan yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris “Fertigation” iaitu gabungan perkataan Fertilise (atau baja) dengan perkataan “Irrigation” (atau pengairan).

Cili mengambil tempoh matang kira-kira tiga bulan lebih dari tempoh dipindahkan ke plastik semaian selepas 30 hari disemai dalam bekas khas untuk anak benih. - KitaReporters

5
11
1
15
0

Copy Link: