Sukarelawan XES Shoes membantu menyarungkan kasut kepada seorang warga emas.


KE ARAH membantu kerajaan melahirkan masyarakat harmoni yang hidup dalam komuniti pelbagai kaum, budaya dan agama, XES Shoes melaksanakan program Kongsi Rezeki Bersama XES Shoes dengan pusat jagaan, rumah kebajikan, anak yatim dan mereka yang memerlukan pembelaan seperti ibu tunggal serta keluarga miskin.

Program yang sudah digerakkan sejak lima tahun lalu itu turut mengeratkan serta memupuk semangat perpaduan serta menyerlah usaha membela mereka kurang bernasib baik itu adalah tanggungjawab semua bangsa dengan mengetepikan syak wasangka tidak benar.

Pengurus Perhubungan Awam XES Shoes, Evelyn Chan, berkata syarikat itu ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik, diabaikanoleh  keluarga, hidup sebatang kara, gelandangan, asnaf dan sebagainya untuk menjalani kehidupan harian seperti orang lain.


Evelyn Chan menyerahkan replika cek RM2,000 sumbangan XES Shoes kepada Mohiadin.


Menurutnya, bagi pusat jagaan, rumah kebajikan, anak yatim dan yang sepertinya itu juga harus diberi perhatian untuk dihulurkan bantuan kerana mereka memerlukan sokongan apabila terpaksa menanggung semua kos supaya dapat terus beroperasi.

Tambahnya, pusat jagaan atau rumah kebajikan sesetengahnya beroperasi dengan menjaga dan menguruskan warga emas yang uzur dan tersisih dengan tidak mengenakan sebarang bayaran, sebaliknya hanya bergantung kepada infak atau sumbangan orang ramai.

“Apabila XES Shoes melancarkan program ini, kami bukan setakat menghulurkan sumbangan barangan dapur, juga menginfakkan bantuan kewangan di samping melengkapkan keselesaan warga emas untuk bergerak dengan mengagihkan selipar atau kasut,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, pada 15 Mei 2024.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Anuar Ahmad; dan sukarelawan XES Shoes. 


Warga emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor gembira menunjukkan kasut yang disumbangkan oleh XES Shoes kepada mereka pada 15 Mei 2024.


Sebelum mengagihkan 20 pasang kasut, mereka turut mengadakan senaman ringan diikuti jamuan makan tengah hari serta sesi beramah mesra dengan mengadakan karaoke bersama-sama warga emas di pusat berkenaan.

Pada program itu juga, XES Shoes menghulurkan sumbangan RM2,000 dan barangan dapur seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, kicap, ikan sardin, bihun dan sebagainya yang bernilai RM500 kepada PJNH.

Evelyn berkata, program itu juga inisiatif syarikat berkenaan dalam melaksnakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan B40 tanpa mengira agama, bangsa dan kaum asalkan mereka turut mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, syarikat itu juga turut berlapang dada untuk membantu keluarga yang amat memerlukan bantuan dan sokongan bagi membolehkan anak mereka meneruskan pengajian ke sekolah berasrama, kolej atau universiti supaya dapat membina kehidupan yang baik untuk keluarga pada masa depan.


Kairul Anuar Ahmad (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas membantu menyarungkan kasut kepada warga emas.


Jelasnya, mereka berkenaan boleh menghubungi XES Shoes menerusi www.facebook.com/xesshoes dengan berkongsikan maklumat ringkas untuk membolehkan pengesanan dibuat serta mengkaji bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

“Pada Ramadan lalu kami turut mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih untuk mengagihkan 47 pasang kasut kepada warga emas di samping menganjurkan majlis berbuka puasa bersama-sama penghuni,” ujarnya.

Sementara itu, Mohiadin berkata, pusat jagaan berkenaan sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyantuni warga emas di PJNH dengan mengadakan pelbagai kerja amal dan sebagainya.

Menurutnya, PJNH juga sentiasa mengharapkan sumbangan atau infak daripada orang ramai, dermawan dan syarikat korporat untuk menghulurkan bantuan termasuk mengagihkan wang zakat bagi membantu membiayai kos operasi.

“Kami memikul tanggungjawab menjaga serta menguruskan warga emas ini secara sukarela selepas mereka hilang tempat berteduh, uzur, disisih oleh ahli keluarga, orang kelainan upaya (OKU), sebatang kara dan sebagainya yang dirujuk oleh pelbagai pihak termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hospital,” katanya lagi. - KitaReporters


Evelyn dengan dibantu oleh sukarelawan XES Shoes mengagihkan kasut kepada warga emas.

22
17
0
14
0

Copy Link: