Sistem audit guna pakai AI! 1,856 badan berkanun, syarikat kerajaan diaudit! Sistem e-SelfAudit! - PM
Published bySebanyak 1,856 badan berkanun termasuk syarikat kerajaan akan diaudit menerusi Sistem e-SelfAudit yang mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) di bawah program Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sistem e-SelfAudit yang mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) ini telah dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan Jabatan Audit Negara (JAN) tanpa implikasi kos tambahan.
"Saya hadir meluncurkan program Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan yang melibatkan pengauditan sebanyak 1,856 buah badan lain termasuk Syarikat Kerajaan melalui satu platform digital yang terkini.
"Kita seharusnya boleh berbangga kerana Sistem e-SelfAudit yang mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) ini telah dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan Jabatan Audit Negara (JAN) tanpa implikasi kos tambahan," jelas Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, pengauditan ini bertujuan menangani isu tatakelola yang dikenal pasti dalam syarikat kerajaan termasuk kelemahan pemantauan terhadap laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat.
"Antara isu lain yang dikenal pasti ialah kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) memainkan peranan dalam mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian berterusan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat," katanya lagi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga menyentuh bahawa ada masanya, tidak semua isu pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi, dapat diselesaikan secara keseluruhan, justeru, masyarakat perlu mengangkat nilai-nilai murni dan menghakis sikap budaya malas dalam membentuk jati diri yang lebih baik.
"Saya percaya semua pihak boleh menerapkan anjakan diri ke tahap lebih baik, berilmu dan bertanggungjawab dalam kehidupan masing-masing, khususnya membawa negara ke tahap lebih hebat lagi pada masa hadapan," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media