Syabas LHDN! Hasil cukai langsung pada 2024 ditingkatkan kepada RM184.805b! Bertambah RM1.465b! - PM

Published by
KitaReporters


Kutipan hasil cukai langsung negara pada 2024 berjaya ditingkat kepada RM184.805 bilion, peningkatan sebanyak RM1.465 bilion berbanding pada 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini mencerminkan penambahbaikan tatakelola serta disiplin tinggi warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam melaksana serta memperteguh amanah kepada negara dan rakyat.

"Syabas dan sekalung penghargaan kepada warga HASiL atas peningkatan kutipan cukai langsung bagi tahun 2024 kepada RM184.805 bilion - yakni RM1.465 bilion lebih tinggi ketimbang tahun 2023.

"Kerajaan Madani kekal beriltizam untuk berdiri teguh bersama HASiL dalam memastikan keadilan fiskal terus ditegakkan. 

"Ini bermaksud kita tidak akan sesekali cuai dan leka, terutama dalam memastikan tidak ada mana-mana pihak culas daripada menunaikan tanggungjawab cukai," kata Anwar pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2025 di Cyberjaya pada 10 Mac 2025.


Perdana Menteri memberitahu, beliau selalu menekankan bahawa sistem percukaian tidak boleh menjadi beban atau bersifat ‘punitive’. 

"Hakikatnya, Malaysia mempunyai pelbagai pelepasan cukai yang jauh lebih banyak berbanding negara-negara tetangga. 

"Walhasil, jumlah pembayar cukai pendapatan di negara ini juga masih kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan populasi serta bilangan syarikat yang beroperasi," tegasnya.

Beliau berkata, negara mampu meningkatkan kutipan hasil apabila wujud kesedaran bersama bahawa membayar cukai adalah suatu tanggungjawab bersama demi negara. 

Hasil inilah, katanya, yang digunakan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan awam, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menjamin peningkatan kepada bantuan sara hidup serta mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan awam.

"Dan ia mesti berpangkal pada pengurusan yang cekap dan berkesan agar setiap wang cukai itu benar-benar mengolah serta menterjemah harapan rakyat dan negara," kata beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
14
0
11
0

Copy Link: