Jom tanam rumput laut! Program ESG Jetama bantu pulihara, pelihara ekologi laut dan alam sekitar!
Published byMemahami kepentingan meningkatkan penangkapan karbon biru di lautan, Jetama Sdn Bhd mengambil inisiatif menganjurkan Program Penanaman Rumput Laut dengan kerjasama Jabatan Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pulau Sepanggar, Sabah baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang berkata, projek rintis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) syarikat tersebut.
“Projek ini bakal menjadi model kajian dan diperluas ke kawasan lain yang akan dikenal pasti di sekitar Sabah pada masa akan datang.
"Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa memandang ke hadapan, kami percaya bahawa tanggungjawab korporat dan kelestarian alam adalah penting untuk kejayaan jangka panjang syarikat.
"Kami percaya melalui Program Penanaman Rumput Laut Jetama ini, ia akan membantu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta mengurangkan kesan perubahan iklim dengan meningkatkan penangkapan karbon dasar laut dan secara langsung melindungi ekosistem marin,” ujarnya.
Ahmad Naim juga memberitahu melalui program berkenaan, Jetama bukan sahaja memenuhi tanggungjawabnya kepada alam sekitar, tetapi turut mencipta nilai lestari untuk para pemegang taruh dan seterusnya memelihara dan memulihara habitat marin.
Katanya lagi, rumput laut merupakan penyumbang utama kepada karbon biru - karbon yang ditangkap dan disimpan oleh ekosistem marin.
“Rumput laut menyerap karbon dioksida sehingga 35 kali lebih cepat daripada hutan hujan, menyimpannya di akar dan sedimen, yang membantu mengurangkan perubahan iklim.
"Selain penangkapan karbon, rumput laut juga menyokong kehidupan marin seperti penyu hijau dan dugong, selain meningkatkan kualiti air dengan menapis sedimen, serta melindungi kawasan pantai dengan menstabilkan dasar laut dan menghalang hakisan,” jelasnya lagi.
Program selama lima hari itu bermula pada 23 September 2024 lalu dan melibatkan 15 orang sukarelawan yang terdiri daripada penyelam profesional dari Kota Kinabalu dan Semporna, serta penduduk kampung dari Pulau Sepanggar, yang menyumbang secara signifikan kepada usaha di lapangan. - KitaReporters