Impian jadi realiti! Aleeya Zailan akhirnya miliki butik kecantikan sendiri! Jual produk jenama Avenys!
Published bySEBUT sahaja Aleeya Zailan, rasanya satu Malaya mengenali dirinya, seorang pempengaruh terkenal dan usahawan berjaya dan sering memasak bersama suaminya dalam kuantiti yang banyak untuk disedekahkan.
Malah, pasda Oktober 2022, kisah pasangan berkenaan yang memasak sotong sebanyak 340 kilogram bersama beberapa hidangan lain untuk diaghkan di masjid-masjid di Selangor menjadi tular.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan individu pempengaruh
Ditemani suaminya, Azri Aziz atau dikenali Bigboss semasa memasak membuatkan penonton yang melihat pasangan ini di dapur tidak pernah kering gusi, ada sahaja celoteh dan usikan nakal sepanjang mereka beregu dalam memasak termasuk mempromosikan produk penjagaan wanita dan kosmetik keluaran Aleeya, Avenys.
Terbaharu, pada 5 Februari 2023 lalu, pasangan itu berjaya merealisasikan impian selama ini apabila berjaya memiliki butik sendiri yang dikhususkan untuk produk kecantikan.
Berkongsi rasa terharu dengan pencapaian diri, wanita kecil molek kelahiran Melaka itu mengakui rasa amat terharu atas sokongan tidak berbelah bahagi pengikut setianya dalam media sosial.
Selaku pengasas jenama produk kecantikan tersebut, Aleeya memberitahu, perasaannya bercampur-baur sebaik melihat kedai miliknya beroperasi di depan mata.
"Ramai yang mengetahui, bisnes Avenys bermula pada era pandemik dan segala urus niaga diusahakan secara dalam talian menerusi platform maya dek kekangan yang ada pada waktu itu.
"Sebab itu apabila hari ini saya lihat sendiri depan mata butik yang selama ini hanya berlegar-legar di fikiran tanpa boleh menyentuhnya, bagaikan tidak percaya.
"Akhirnya penat lelah kami keluarga Avenys memerah kudrat kira-kira setahun lebih akhirnya membuahkan hasil," kongsi usahawan jelita yang sering berkongsi rezeki dengan aktiviti amal yang dilakukan bersama keluarga.
Namun di sebalik kejayaannya merealisasikan impian yang juga dianggapnya impian bersama para pelanggan kesayangannya, Aleeya tidak menafikan terbit rasa sebak tatkala kerinduan terhadap arwah ibu menyapa ruang hatinya.
Ini kerana, menurut Aleeya, Avenys bukan sekadar perniagaan semata-mata, bahkan merupakan 'tempat' di mana dia rasakan seolah-olah mendapat pengganti atas pemergian arwah ibunya.
"Selain kewangan yang semakin kukuh, menerusi bisnes ini juga Allah telah hadirkan bukan seorang tetapi ribuan pelanggan yang salin tak tumpah seperti arwah ibu.
"Nasihat yang dulunya dititipkan dari mulut arwah ibu kini masih saya dengari dan peroleh daripada pelanggan Avenys yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.
"Bayangkan saya selalu menerima nasihat daripada ibu-ibu yang kebanyakannya adalah pengikut setia dalam laman sosial. Mereka tak pernah jemu memberikan sokongan.
"Lebih manis, pohonan doa juga tidak pernah lekang diutuskan buat saya. Alhamdulillah, betapa bertuahnya saya sekeluarga," cerita Aleeya sambil kedua-dua matanya yang galak mula berkaca menahan sebak.
Turut berkongsi kesedihan dirasainya Big Boss yang baru sahaja kehilangan bapanya pada Disember lalu.
'Memang sedih, tetapi saya tetap gembira dengan pembukaan butik ini dan akan sentiasa ingat pesan arwah agar sentiasa bersikap jujur serta rajin dalam melakukan perniagaan," katanya.
Pada majlis istimewa itu, Avenys turut memperkenalkan produk terbaharu keluaran mereka berupa jel mandian yang dihasilkan dalam lima haruman iaitu Midnight Dream, Autumn Kiss, Twilight Bliss, Rose Paradise dan Sea Breeze.
Peminat-peminat Avenys kini boleh mengunjungi di aras bawah dalam pusat beli-belah Alpha Angle Wangsa Maju dan telah pun memulakan operasi pada awal tahun ini (2023).
Tahniah Aleeya dan Bigboss semoga perniagaan ini semakin maju dan membuka cawangan-cawangan lain di luar Lembah Klang. - KitaReporters