Moody's kekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3! Akan jadi ekonomi terpesat berkembang!
Published byPenarafan kredit berdaulat Malaysia oleh Moody’s Ratings (Moody’s) kekal pada A3 dengan tinjauan "Stabil", sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan Madani dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengekalan penarafan oleh Moody’s Ratings (Moody’s) itu membuktikan usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan dalam pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
"Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia," tegas Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, pada tahun ini (2025), Kerajaan Madani akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025.
Di samping itu, katanya, kerajaan Madani memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepat pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
"Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” tambah beliau.
Menurut Moody’s, Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sambil mempernyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
Agensi penarafan ini menjelaskan bahawa kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang sofistikated.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Moody’s turut mengiktiraf sokongan politik yang utuh telah memberi ruang kepada Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
Dalam hal ini, Kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasa usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8% hingga 5.3%.
Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran di antara 4.5% hingga 5.5%.
Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awamdan Tanggungjawab Fiskal 2023. - KitaReporters/Kenyataan Media