Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mewakili Malaysia pada Majlis Pelancaran Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 peringkat rantau Asia Pasifik dan Jepun (IYC 2025 Kick Off for Asia Pacific Region and Japan) yang telah berlangsung dengan penuh bersejarah di United Nations University, Tokyo pada 19 Februari 2025.  

Majlis yang dianjurkan oleh International Cooperative Alliance Asia and Pacific (Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia dan Pasifik atau ICA-AP) dengan kerjasama IYC 2025 Japan Committee dan International Labour Organization (ILO) Japan telah berjaya menghimpunkan seramai 250 orang pemimpin koperasi rantau Asia Pasifik, wakil kerajaan, dan pertubuhan antarabangsa secara fizikal dan 450 orang secara dalam talian.  

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, yang juga Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) diberi pengiktirafan menyampaikan pembentangan mewakili Malaysia mengena perancangan dan aktiviti gerakan koperasi negara dalam menyemarakkan sambutan IYC 2025). 



Abdul Fattah dalam pembentangannya menekankan komitmen Malaysia terhadap IYC 2025 dengan menggariskan pelbagai inisiatif nasional yang telah dirangka antaranya termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pemandu IYC 2025 yang dipengerusikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).  

Beliau turut membentangkan inisiatif Angkasa yang akan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 dengan menjadikan koperasi sebagai salah satu agenda utama dalam sidang kemuncak ASEAN. 

Sokongan kerajaan Malaysia terhadap Angkasa selaku badan apeks gerakan koperasi dengan memperuntuk RM1 juta bagi menyokong program koperasi ASEAN akan digerakkan menerusi penganjuran ASEAN Cooperative Dialogue (Dialog Koperasi ASEAN atau ACD) pada bulan Mei 2025. 

Program ini dijangka menjadi platform utama dalam memupuk kerjasama antara koperasi yang bakal menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, agensi, koperasi dan badan koperasi apeks dari negara-negara ASEAN.  

Dalam ucapannya, beliau turut memberi penekanan kepada kepentingan membina rangkaian kerjasama koperasi serantau, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin dinamik. 

Dalam konteks ini, Abdul Fattah menggesa gerakan koperasi untuk memperkukuh perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C2C) menerusi inisiatif yang menyediakan ekosistem kondusif bagi aktiviti perdagangan dan pelaburan koperasi. 

Justeru Malaysia menerusi Angkasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian dengan koperasi rantau Asia Pasifik bagi memastikan IYC 2025 benar-benar memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan dan kemajuan koperasi global seiring dengan tema yang diangkat iaitu “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat”.  



Presiden ICA-AP, Dr Chandrapal Singh Yadav, dalam ucapannya pula menegaskan kepentingan kerjasama erat antara koperasi, kerajaan, dan kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan IYC 2025. 

Beliau menyeru semua negara anggota untuk membentuk mekanisme koordinasi nasional yang melibatkan kerajaan dalam memperkukuh dasar sokongan terhadap koperasi, termasuk dalam aspek pembiayaan, inovasi, dan perundangan. 

Dr. Yadav menegaskan bahawa melalui advokasi dan kesedaran global yang berterusan, IYC 2025 dapat menjadi titik perubahan dalam mengangkat gerakan koperasi sebagai model ekonomi yang lebih lestari dan inklusif di peringkat antarabangsa.  

Majlis pelancaran ini juga memberi platform kepada pemimpin koperasi antarabangsa memberikan kenyataan yang dimulakan oleh Pengerusi IYC 2025 Japan Committee dan Presiden Central Union of Agricultural Co-operatives (JA-Zenchu), Toru Yamano. 

Ucapan perasmian turut disampaikan melalui mesej video oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, serta wakil kerajaan Jepun dan ahli Parlimen yang menyokong gerakan koperasi. 

Dr. Ariel Guarco, Presiden ICA Global, juga memberikan ucapan penghargaan melalui mesej khas yang menekankan peranan koperasi sebagai instrumen penting dalam menangani cabaran ekonomi dan sosial dunia. 

Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC 2025) bertemakan ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat (Cooperatives Build a Better World)’ diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi. 

Tujuan utama IYC 2025 adalah untuk meningkatkan kesedaran global mengenai peranan koperasi menyumbang kepada pembangunan mampan, pengurangan kemiskinan, penggalakan kesaksamaan sosial, dan pembangunan komuniti.  

Abdul Fattah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun bermula pada 18 hingga 22 Februari 2025. 

Terdahulu, delegasi Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Anggota Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia dan Pasifik (ICA-AP Regional Board Meeting) yang berlangsung pada 18 Februari 2025 di Hotel Metropolitan Edmont, Tokyo. 

Mesyuarat secara hibrid yang dihadiri 39 perwakilian membincangkan beberapa agenda utama yang bertujuan memperkasa peranan koperasi dalam ekosistem ekonomi global. 

Antaranya adalah Perancangan Strategik ICA-AP 2025-2030 yang dirangka bagi menyelaraskan hala tuju koperasi dengan agenda pembangunan serantau dan global demi memastikan koperasi kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan .  

Delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan hormat dan mengadakan perbincangan dengan badan apeks gerakan koperasi Jepun, Japan Co-operative Alliance (JCA) dan Japan  Workers’ Cooperative Union (JWCU) yang membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuklah potensi mengembangkan jaringan dan rangkauan pasaran produk dan perkhidmatan koperasi serantau melalui platform koperasi antara kedua-dua belah negara. 

Delegasi Malaysia turut,mengadakan perbincangan dengan Islamic Center Japan (ICJ) berkenaan potensi penubuhan koperasi kariah masjid oleh masyarakat Muslim di Jepun.  



Menurut statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga Jun 2024 terdapat 16,009 buah koperasi di Malaysia dengan keanggotaan seramai 7.2 juta individu, syer/yuran sebanyak RM18 bilion, aset sebanyak RM171.4 bilion dan perolehan RM33.06 bilion. Manakala perolehan gerakan koperasi pada tahun 2023 adalah RM64.6 bilion.  

Dalam konteks global pula, data menunjukkan bahawa koperasi memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial dunia. Terdapat lebih daripada 300,000 koperasi dengan keanggotaan seramai 15 juta individu di ASEAN sahaja. 

Secara global, koperasi menyumbang kepada kehidupan 12% populasi dunia, dan sektor ini terus berkembang sebagai salah satu model ekonomi yang mampan. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
11
0
8
0

Copy Link: