Demi jalinan kasih! 37 Sahabat AIM Pasir Mas kunjungi AIM Batu Pahat! Tukar idea strategi berniaga!
Published byAhli Kelab APSA Cawangan AIM Pasir Mas mendengar taklimat mengenai operasi kilang Eng's Popcorn
di Tongkang Pecah.
SERAMAI 37 sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Cawangan Pasir Mas, Kelantan mengadakan program Lawatan Jalinan Kasih ke Cawangan AIM Batu Pahat, Johor sebagai usaha memupuk budaya bekerjasama dan berkongsi pengalaman dalam membantu sahabat di tempat masing-masing.
Program itu turut diiringi enam kakitangan AIM cawangan berkenaan bagi memastikan kelancaran pelbagai aktiviti disusun sepanjang lawatan yang membabitkan ke beberapa lokasi selama dua hari bermula 26 Julai 2023 lalu.
Mohd Zaki Mamat (tengah) menerima penghargaan daripada Kelab APSA Cawangan AIM Pasir Mas di kilang kuih bangkit 'Mybankit hq' di Benut.
Pengurus program yang juga Penolong Pengurus cawangan AIM itu, Fazlinda Jusoh, berkata lawatan itu turut dikelolakan Kelab Angkatan Perpaduan Sahabat Amanah (APSA) Cawangan AIM Pasir Mas adalah sebagai menghargai jemputan Kelab AIM Cawangan Batu Pahat yang ke Pasir Mas pada Oktober 2022.
Menurutnya, program lawatan itu bukan setakat kunjungan balas tetapi untuk membina landasan terbaik dalam jaringan perniagaan antara dua cawangan AIM khusus untuk membuka peluang kepada sahabat AIM melebarkan usaha niaga mereka.
Jelasnya, kerana demikian itu beliau sudah merangka aktiviti
program yang tersusun dengan mengadakan lawatan antaranya ke projek sahabat AIM
cawangan berkenaan dalam membuat kuih bangkit di Benut dan Eng's Popcorn di
Tongkang Pecah.
“Lawatan ke tapak projek sahabat AIM ini memang memberi kesan mendalam kepada sahabat AIM dengan berkongsi cara pembuatan, pemasaran serta modal yang diperoleh bagi dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujar beliau.
Mohd Zaki (kiri) bersama ahli Kelab AIM Cawangan Batu Pahat menyerahkan cenderahati kepada wakil Kelab AIM Cawangan Pasir Mas di Arena Warna Ayer Hitam.
Ketibaan rombongan sahabat dan kakitangan Cawangan AIM Pasir
Mas itu termasuk Pengurus Cawangannya, Zakiah Mustafa dan Pengerusi Kelab APSA
Cawangan Pasir Mas, Mariani Mat Nor disambut oleh Pengurus Wilayah AIM, Mohd Fadzli
Haizal Din; Pengurus Cawangan AIM Batu Pahat, Mohd Zaki Mamat; dan kakitangan
cawangan berkenaan.
Mariani mewakili Kelab APSA, berkata pertemuan dengan kakitangan serta sahabat AIM cawangan daerah berkenaan digunakan untuk berbincang beberapa strategik yang mungkin boleh dilaksanakan bagi memperluas pasaran projek kuih bangkit ‘Mybankit hq’ dan Eng's Popcorn ke Pasir Mas.
Mohd Zaki menyerahkan cenderahati kepada Zakiah.
Menurutnya, daripada strategik itu juga, sahabat AIM di Pasir
Mas boleh memasarkan produk mereka melalui sahabat AIM di Batu Pahat dengan
lebih teratur terutama bagi memastikan bekalan bahan makanan khususnya tidak
terputus.
“Perkara ini perlu diberi perhatian dan hubungan perniagaan
dapat terjalin dengan baik selain mampu memenuhi permintaan orang ramai di Batu
Pahat untuk menikmati makanan dari Kelantan begitulah sebaliknya penduduk di
Kelantan untuk membeli produk makanan dari Johor,” katanya.
Program lawatan itu berakhir di Arena Warna Ayer Hitam pada sesi bertukar cenderahati antara dua cawangan AIM terbabit serta mengunjungi gerai sahabat AIM sekitar lokasi berkenaan yang banyak memasarkan pelbagai kuih-muih tradisional, kerepek dan barangan kraf tangan. - KitaReporters
Ahli Kelab APSA dan kakitangan Cawangan AIM Pasir Mas merakamkan kenangan sebelum pulang selepas mengadakan Lawatan Jalinan Kasih ke Cawangan AIM Batu Pahat.