CIPTA JENAMA SENDIRI UNTUK START UP, SCALE UP
Published byBAGI mencipta peluang pekerjaan bagi orang muda, satu Program Pementoran Keusahawanan 'Start Up' dan 'Scale Up' kepada golongan belia melalui penciptaan jenama sendiri telah diadakan. Kursus berkenaan melibatkan kaedah 'mentoring-coaching' oleh pakar-pakar. : KitaReporters.com
SEBAHAGIAN peserta kursus bersama anugerah dimenangi mereka.
Inisiatif kursus itu yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) mampu dimanfaatkan golongan usahawan dari pelbagai industri yang memerlukan khidmat nasihat atau rundingan (mentoring-coaching).
Menurut menterinya, Khalid Abd Samad, program diadakan secara komprehensif selama enam bulan itu menggunakan kaedah 'mentoring-coaching' oleh pakar yang terbabit secara langsung dalam industri bagi memberikan panduan kepada usahawan untuk mengembangkan serta melonjakan prestasi perniagaan peserta.
Selain itu, para peserta dapat mempelajari dan menguasai teknik mengurus perniagaan secara lebih berkesan, katanya.
"Program disertai itu turut dapat menyasarkan peningkatan jualan peserta di mana 93 peratus daripada keseluruhan 50 peserta katogeri 'start up' berjaya memperolehi prestasi jualan melebihi RM3,000 sebulan.
"Bagi katogeri 'scale up' pula, 89 peratus daripada 40 peserta berjaya meningkatkan jualan melebihi RM5,000 sebulan," katanya pada Isnin (15/12/2019) lalu selepas menyampaikan sijil kepada peserta Program Pementoran Keusahawanan Start Up dan Scale Up Wilayah Persekutuan di Putrajaya.
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyampaikan Anugerah Harapan kepada peserta.
Program selama enam bulan bermula Mei hingga November 2019 itu disertai seramai 92 peserta warga Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur yang mendapat latihan dari tenaga pengajar bertauliah.
Keseluruhan peserta terdiri dari usahawan yang menceburi bidang perkhidmatan cafe & restoran, spa, homestay, eko-pelancongan, postnatal care, laundri, bakeri, peruncitan dan food truck.
Antara aktiviti dan latihan diadakan adalah kelas pengurusan perniagaan, perancangan kewangan, teknik pemasaran serta pengiklanan digital dan program bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) cemerlang.
Kesemua peserta menerima sijil tamat kursus disampaikan oleh Khalid, manakala 48 peserta dipilih bagi menerima anugerah terdiri dari Anugerah Usahawan Harapan, Anugerah CEO Cemerlang dan Usahawan Unggul Wilayah Persekutuan.
Khalid berkata, peranan usahawan adalah sangat penting kepada pembangunan negara, justeru mereka perlu serius dalam membangun perniagaan melalui minda yang lebih terbuka, kreatif, berdaya saing dan sentiasa berusaha menambah ilmu dalam bidang perniagaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan terutama dalam menghadapi pasaran yang sangat mencabar pada masa ini.
Beliau turut memberi peringatan kepada peserta agar bekerja keras bagi mencari dan meningkat pendapatan kerana menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya pada masa depan.
"Rezeki tidak akan datang melayang atau bergolek, para usahawan perlu terus berusaha memajukan diri dan menghasilkan produk bermutu agar dapat bersaing di peringkat global," katanya. - KitaReporters.com
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyampaikan Anugerah Pilihan Mentor kepada peserta.
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyampaikan Anugerah Khas Kementerian kepada peserta.