Hotel Crown Garden Hotel yang terletak di tengah bandar Kota Bharu.


Rasa bangga dan mengutamakan kebersihan serta keselamatan penyediaan makanan untuk pelanggan yang tidak membahayakan kesihatan menyebabkan pengurusan Hotel Crown Garden (CGH) di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan menitikberatkan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Bersesuaian dengan pemilik hotel itu yang merupakan Cina peranakan Kelantan berasakan usaha mendapatkan SPHM itu bukanlah suatu yang remeh-temeh malah mengangapnya molek apabila terbabit dalam perniagaan menawar perkhidmatan penginapan dan pelbagai menu makanan untuk semua bangsa dan agama.

Walaupun perkara itu bukanlah suatu yang wajib tetapi bagi Pengarah CGH, Tan Chee Lim, dengan pemilikan sijil halal yang diperkasakan oleh kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi keyakinan dan kegembiraan untuk meneruskan perniagaan keluarga sejak 13 tahun lalu itu.


Tan Chee Lim (kanan) bersama Anuar Al Sadat Noor menunjukkan isyarat bagus selepas menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia.


Chee Lim berkata, apabila CGH berjaya mendapatkan kembali sijil halal perasaan lega dan bersyukur pastinya menjadi keutamaan kerana proses pensijilan berkenaan bukan sekadar mendapatkan logo, tetapi memerlukan pematuhan ketat terhadap standard yang ditetapkan, termasuklah kawalan bahan mentah yang digunakan, kebersihan premis serta pematuhan menyeluruh terhadap prinsip syariah Islam.

Tegasnya, dalam masa sama, ia juga merupakan satu bentuk tanggungjawab yang bukan hanya untuk mengekalkan status halal tetapi juga bagi memastikan keyakinan pelanggan CGH terhadap setiap hidangan yang disajikan kepada mereka.

Menurutnya, pensijilan halal itu bukan sekadar keperluan pasaran, tetapi juga bukti komitmen CGH terhadap kualiti, kebersihan dan integriti dalam setiap proses di premis hotel, oleh itu, setiap kali sijil halal berkenaan berjaya diperbaharui, ia bukan sekadar satu pencapaian untuk pihaknya, tetapi juga peringatan untuk terus menambah baik sistem dan amalan berkaitan bagi memastikan jaminan halal yang berterusan.

“Saya dan keluarga amat berbangga sebagai pemilik hotel daripada keluarga Cina Peranakan Kelantan kerana perkara pemilikan sijil halal amat menjadi keutamaaan dan ia bukanlah suatu yang membebankan untuk kami memperbaharui dua tahun sekali sebagaimana ditetapkan oleh berkuasa terbabit.

“Ambo dan keluarga mahu CGH ini terus menjadi pilihan pelanggan pelbagai bangsa dan agama serta tidak berasa was-was dalam kalangan orang Melayu beragama Islam untuk menjamah menu disediakan sama ada ketika bersarapan, makan tengah hari, makan malam atau apabila mengadakan majlis keramaian di hotel kito,” ujarnya ketika dihubungi.


Chee Lim (tiga dari kiri) menerima Logo Halal daripada Anuar Al Sadat.


Pada awal Februari 2025 itu, Chee Lim yang mewakili CGH menerima SPHM dari Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarahnya, Anuar Al Sadat Noor.

Dari segi pemilikan sijil halal berkenaan adalah untuk makanan dan minuman bagi Main Kitchen dan Chinese Kitchen, sehubungan itu CGH akan memastikan semua bahan masakan serta proses penyediaan mematuhi standard yang ditetapkan oleh JAKIM. 

CGH juga akan sentiasa memperbaharui pensijilan halal bagi memastikan keyakinan pelanggan terhadap kualiti serta kehalalan makanan yang disediakan.

Mengenai tawaran Bufet Ramadan 2025, Chee Lim, berkata CGH sudah melakukan pembaharuan bagi tujuan berkenaan dengan menambah variasi menu termasuklah hidangan eksklusif yang jarang didapati di tempat lain di samping penyediaan makanan juga lebih sistematik dengan konsep bufet lebih tersusun untuk keselesaan pelanggan.

Justeru itu, menurutnya, CGH kini sudah bersedia dengan tawaran Bufet Ramadan termasuk pelbagai hidangan tradisional, Chinese, Italian (western) dan hidangan Timur Tengah, manakala harga bufet bermula dari RM80 bergantung kepada pakej yang dipilih, sama ada berbuka puasa secara bufet, berkumpulan atau pakej korporat.


Chee LIm menerima kunjungan pegawai kesihatan yang mengadakan lawatan ke bahagian dapur CGH dan penyediaan makanan.


Jelasnya, untuk bilik penginapan pula CGH menyediakan keseluruhan 10 jenis bilik penginapan iaitu Standard SingleSuperior DoubleSuperior TwinSuperior QueenDeluxe TwinDeluxe DoubleDeluxe JuniorDeluxe PremierFamily RoomExecutive Suite yang keseluruhan berjumlah 81 bilik dengan harga bermula antara dari RM138 dan RM380.

Manakala kemudahan yang disediakan untuk pelanggan termasuklah tempat parking yang luas, kemudahan WiFi percuma, breakfast percuma, bilik berhawa dingin, TV flat screen, dan kopi serta teh percuma. 

Chee Lim berkata, CGH Hotel menjadi pilihan ramai pelancong kerana lokasinya yang strategik terletak di tengah bandar Kota Bharu yang berdekatan dengan Dataran Cheng Ho dan Pasar Siti Khadijah di samping faktor utama kemudahan akses ke tempat tarikan pelancong dan pusat beli-belah.

Menurutnya, CGH menyediakan menu untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan konsep yang berbeza setiap hidangan bagi memenuhi serta menjamin kepuasan pelanggan terutama yang pertama kali berkunjung ke Kelantan.

“Seperti menu sarapan CGH yang berkonsep bufet menyediakan sajian tradisi orang Kelantan seperti nasi dagang, nasi kerabu, kuih-muih tradisional serta hidangan Barat seperti roti bakar, telur dadar dan sosej.

“Bertepatan dengan pemilikan sijil halal CGH memastikan setiap hidangan disediakan dengan bahan berkualiti dan mengikut keperluan pelanggan termasuklah pilihan makanan sihat serta vegetarian,” ujarnya lagi. - KitaReporters


CGH akan memastikan kebersihan premis serta pematuhan menyeluruh terhadap prinsip syariah Islam khusus dalam penyediaan makanan.

14
9
0
14
0

Copy Link: